Berita  | Dunia

Keindahan Syria yang mungkin tidak dapat kita lihat lagi

Keindahan Syria yang mungkin tidak dapat kita lihat lagi
Banyak tinggalan warisan lampau di kota Palmyra, Syria sudah dimusnahkan dalam penaklukan militan Negara Islam (IS). - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid
APABILA imej jasad si anak kecil yang terbujur kaku di gigi air sebuah pantai di Turki tersebar luas di media sosial, hati manusia mana yang tidak tersentuh.

Kalau dahulu sekadar membaca berita dengan sebelah hati tertutup, kini semakin ramai yang ikut sama meratapi nasib dan derita ribuan atau mungkin jutaan pelarian Syria yang tidak dapat lagi mengecap nikmat kehidupan di negara mereka sendiri.

Alan Kurdi yang kini kembali ‘tidur’ nyenyak dalam rahmat Yang Maha Esa itu hanya berusia tiga tahun, sedangkan kisah lara negara asalnya telah bermula lebih awal daripada usia hayatnya.

Syria yang kaya dengan keistimewaan budaya, sejarah ketamadunan, kemakmuran ekonomi dan keramahan penduduknya sebenarnya telah ‘mati’ lebih awal daripada Alan Kurdi.

Setiap kali mendapat khabar tentang Syria yang musnah dalam rentetan perang saudara dan kemudian ditakluk pula militan kejam yang melabel diri sebagai tentera Negara Islam (IS), ia berangkai dengan khabar kemusnahan pelbagai khazanah negara itu.

Lebih dahsyat dan menyayat hati, kemusnahan itu turut membawa kemusnahan erti kemanusiaan.

Alangkah remuk sungguh hati saya sebagai pengembara yang pernah merasai semua keindahan itu di bumi tersebut.
Lima tahun dahulu sekitar bulan ini, saya bersama empat wartawan lain dari Malaysia telah dijemput oleh Kerajaan Syria untuk membuat liputan penganjuran Festival Laluan Sutera.

Festival yang turut dihadiri ratusan wartawan sedunia itu merupakan tarikan pelancongan yang mengangkat keagungan sejarah negara itu yang pada suatu era pernah menjadi hab pertembungan para pedagang dunia dari Timur dan Barat.

Selama lebih dua minggu, kami larut dalam pesona negara itu yang tiada duanya di dunia ini.

Setiap kali berasa letih dek perjalanan ratusan kilometer merentas laluan padang pasir untuk ke sesebuah kota, setiap kali itulah juga ia segera terubat kerana kami disambut dengan suasana dan tarikan yang tidak terbeli dengan wang.

Bermula dari aspek seni reka bangunan zaman lampau, makanan, budaya, sejarah hinggalah kepada kesantunan masyarakatnya, sama sekali telah mengubah persepsi kami tentang tatacara hidup kelompok Arab di tanah yang makmur dan bertuah itu.

Sayang sekali, kemakmuran dan tuah itu ternyata suatu pinjaman dan tidak kekal seperti yang diharapkan.

Di sini saya ingin kongsikan secara eksklusif koleksi gambar dan cerita pendek mengenai keistimewaan Syria yang mungkin tidak dapat kita temui lagi.

Saya telah ke beberapa kota seperti Damsyik, Aleppo, Homs, Palmyra dan Lattakia.

Biarlah gambar-gambar ini yang berbicara kerana inilah Syria yang saya kenali.


DAMSYIK

Syria
Damsyik merupakan antara kota tertua dunia yang terus dihuni sejak awal kewujudannya. Banyak binaan bangunan usang dari zaman pentadbiran Umayyah masih kekal digunakan dan bersimulasi dengan struktur baharu yang mirip dibina dari segi rekaan, material dan warna supaya tidak merosakkan nilai budaya dan estetika keseluruhan kota tersebut. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

Syria
Laluan masuk ke Souq Al-Hamidiyah ini antara contoh binaan lama yang beradaptasi dengan fungsi baharu. Deretan tiang usang ini adalah dari runtuhan Kuil Jupiter yang dibina orang Rom. Kuil ini ditukar fungsi sebagai gereja oleh Maharaja Rom Theodosius I sebelum Islam datang ke Damsyik pada tahun 635. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

Syria
Penjual teh yang lengkap dengan pakaian dan perkakasan tradisional seperti ini mesra menyambut tetamu sekitar Souq Al-Hamidiyah atau Masjid Sayyida Zainab. Orang ramai boleh merasai kesegaran teh yang diperbuat daripada rebusan akar wangi yang dicampur air mawar. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid


Syria
Wanita berusia 70-an yang berniaga kotak mozek sejak turun-temurun di bazar Citadel Damsyik ini bernama Amira Al-Samman. Menurutnya, berbeza dengan seni kraf seumpamanya dari Mesir atau di tanah Arab lain, kotak mozek Syria lebih kemas kerana kepingan mozek itu 'dibenam' dalam rongga yang diukir pada kotak kayu tersebut. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

Syria
Pasar atau souq di Damsyik malah di seluruh Syria menawarkan aneka barangan harian dan cenderamata menarik. Dari rempah ke tekstil, produk kosmetik ke perkakasan logam berharga, hinggalah ke perhiasan diri serta kediaman. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

 

HOMS

Homs, Syria
Masjid Khalid Al-Walid yang terletak di Dataran Asy-Syuhada, Homs ini menonjolkan seni bina Uthmaniyah-Turki. Ia dibina sebagai penghormatan buat Khalid yang merupakan pahlawan hebat kerana telah menakluk Syria pada kurun ketujuh sekali gus menamatkan pemerintahan Byzantin. - Foto Astro AWANI /Hamzah Hamid

Homs, SyriaBetapa istimewanya masjid ini, ia juga menempatkan makam Khalid Al-Walid di bahagian dalam masjid. Semua tetamu yang berziarah ke makamnya pasti mengingati kehebatan Khalid memimpin tentera hingga menyatukan tanah Arab di bawah satu panji Khalifah. Apa yang terjadi pada makam ini disertakan pada penghujung artikel. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid


 
ALEPPO

Syria
Ini adalah suasana harian biasa di sekitar kota Aleppo yang terletak di utara Syria. Dalam sejarah, kota ini merupakan hentian akhir Laluan Sutera yang merentas dari Asia Tengah dan Mesopotamia. Ia merupakan kota terbesar di negara itu menjadi pusat pentadbiran Empayar Uthmaniyyah yang ketiga terbesar selepas Constantinople dan Kaherah. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

Syria
Kanak-kanak peramah di dataran Citadel Aleppo ini menyapa saya: "Adakah kamu Muslim? Dari mana?". Saya pun menjawab: "Ya, saya Muslim dari Malaysia", lalu mereka membalas: "Alhamdulillah, kamu abang saya dari jauh". Di manakah agaknya mereka sekarang ini? - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

Syria
Dewan tahkta di dalam Citadel Aleppo ini merupakan antara beberapa ruang penting yang ada selain dewan simpanan senjata dan dewan persiapan tentera. Selain terdapat muqarnas dan kubah indah dari zaman Ayyubi, di lelangit dewan takhta ini boleh dilihat hasil kerja kayu, susunan mozek dan lukisan tangan. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

Syria
Pelancaran Festival Laluan Sutera 2010 telah berlangsung berlatarbelakangkan Citadel Aleppo, iaitu sebuah kubu istana yang yang wujud sejak milenium ketiga dan pernah menyimpan sejarah peradaban Yunani, Byzantin, Ayyubi dan Mamluk. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid


syria
Jika Melaka makmur sebagai hentian perdagangan Nusantara suatu masa dahulu, Aleppo juga merupakan titik pertemuan pengembara dan pedagang darat dari Timur dan Barat. Sutera China, rempah India dan barangan logam dari Eropah pernah didagangkan di Aleppo. Kedai membuat permaidani ini adalah salah satu contoh warisan perdagangan yang hidup sejak beratus-ratus tahun. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid
 

PALMYRA

Syria
Gambar bertarikh 30 September 2010 ini merakamkan suasana sekitar tapak bersejarah Palmyra. Penemuan arkeologi di tapak warisan dunia ini bukan saja memiliki ciri Neolitik, malah ia disebut dalam kitab Hebrew dan pernah muncul sebagai bandar hebat ketika pemerintahan Empayar Rom. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

Syria
Seni bina Palmyra banyak dipengaruhi unsur Greko-Rom dan Parsi. Pernah berkembang pesat sebagai metropolis yang berkuasa autonomi, kota usang ini dahulunya dihuni kaum Amorit, Arami, Arab dan minoriti Yahudi. Sebelum kedatangan Islam, kebanyakan daripada mereka menyembah para dewa tempatan dan Mesopotamia. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

Syria
Ini adalah Kuil Bel atau Baal Shamin yang dibina pada sejak sebelum kedatangan kuasa Rom. Pada Ogos 2015, militan IS membuat keputusan bahawa kuil ini tidak perlu wujud untuk tatapan generasi seterusnya. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

SyriaLembah Makam di Palmyra adalah antara tarikan pelancongan yang luar biasa. Jika di permukaan hanyalah hamparan padang pasir, di bawahnya pula terdapat laluan dan lorong untuk ke makam khas yang menempatkan jasad tokoh berpengaruh, pahlawan dan bangsawan. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

Syria
Suasana mendamaikan pada waktu malam di Palmyra dengan simbahan cahaya yang menghidupkan semula kisah sejarah lampau. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

Syria

Senyuman gadis Badwi Syria yang menyambut kunjungan pelancong dan pengembara di kawasan rehat di tengah-tengah padang pasir Palmyra. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid


LATTAKIA

Syria
Destinasi seterusnya adalah ke Qal'at Salahuddin iaitu kubu gunung di Jabal Bahra, Lattakia. Istimewanya kubu ini adalah pada tahun 1188 ia menjadi istana bagi pahlawan terbilang Salahuddin Al-Ayyubi dan pasukan tenteranya selepas berjaya menundukkan penguasaan Tentera Salib. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

SyriaDuduk di tebing tembok kubu istana ini sambil menikmati pemandangan saujana dan tiupan angin tentunya mengimbas ingatan pengunjung pada peristiwa bersejarah melibatkan kerajaan Byzantin, kedatangan Tentera Salib, penaklukan Ayyubi dan pengambilalihan kerajaan Mamluk. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

Lattakia

Binaan Qala'at Salahuddin Al-Ayyubi ini boleh membuatkan sesiapa sahaja tersesat kerana terdapat banyak laluan mengelirukan ke pelbagai ruang tertentu. Di bahagian dalam kubu istana ini menempatkan ruangan khas dengan fungsi seperti kamar pahlawan, gudang simpanan makanan, kolam rizab bekalan air, jendela mengintai musuh dan bilik senjata. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid
 
BRAD

Syria
Terdapat kira-kira 700 petempatan di barat laut Syria yang dikenali sebagai 'Bandar Yang Dilupakan' atau 'Bandar Mati'. Salah satunya adalah bandar Brad yang sunyi namun terdapat banyak runtuhan gereja dan makam usang. Kawasan tersebut mempunyai banyak bukti akademik tentang perkembangan ajaran Kristian ortodoks pada era terawal. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

Syria
Salah satu keluk gerbang dari sebuah basilika usang yang dibina menggunakan blok batu kapur. Di Brad juga terdapat kawasan kuburan lama yang antaranya menempatkan jasad St. Maron iaitu paderi Kristian Syria dari kurun keempat. - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

SyriaDi setiap pelusuk tanah di bumi Syria, pengembara dunia sebenarnya dapat mempelajari sesuatu tentang kehidupan masa lalu yang boleh menjawab pelbagai persoalan tentang agama, tamadun, bangsa dan budaya. Selama manakah lagi semua keistimewaan itu mampu bertahan? - Foto Astro AWANI / Hamzah Hamid

 

KEMUSNAHAN YANG MENCALAR KEMANUSIAAN

Daripada siri gambar di atas, anda sudahpun menyaksikan sebahagian daripada keindahan Syria di beberapa buah kota di seluruh negara tersebut. Saya mengakhiri artikel ini dengan menunjukkan kepada anda tentang kemusnahan yang memilukan di kota-kota tersebut:

Apa yang telah terjadi di sekitar Damsyik:

kemusnahan Damsyik
Walaupun rejim Bashar Al-Assad masih menguasai Damsyik, kesan perang saudara dan ancaman militan IS meletakkan kota tersebut dalam keadaan berjaga-jaga dengan keadaan keselamatan yang tidak menentu. - Foto AFP

peperanganSebahagian laluan masuk ko kota Damsyik yang dahulunya dipenuhi aktiviti komuniti, kebudayaan, komersial dan kerancakan ekonomi kini banyak yang musnah. - Foto AFP


 
Apa yang telah terjadi pada Masjid Khalid Al-Walid di Homs:

Homs
Rakaman pada 25 Julai 2013 menunjukkan Masjid Khalid Al-Walid rosak teruk akibat terkena bedilan roket sewaktu perang saudara memuncak melibatkan rejim Bashar Al-Assad dan penentang mereka. - Foto AFP

Homs
Imej pada 23 Julai 2013 ini menunjukkan makam Khalid Al-Walid di dalam Masjid Khalid Al-Walid di Homs yang rosak teruk akibat peperangan. - Foto AFP

 

Apa yang telah terjadi di Aleppo:

Aleppo
Foto bertarikh 24 September 2014 ini menunjukkan keadaan Masjid Umayyad di Aleppo yang rosak teruk semasa perang saudara Syria hingga memadamkan sejarah gemilangnya sejak kurun kelapan. - Foto AFP
 

Apa yang telah terjadi di Palmyra:

palmyra
Serangan bom militan IS seperti ini memusnahkan banyak khazanah purba termasuk Kuil Bel atau Baal Shamin yang tidak ternilai di Palmyra. - Foto AFP

palmyra
Imej satelit di tapak Kuil Bel pada 31 Ogos 2015 menunjukkan bangunan tersebut musnah sepenuhnya menjadi rata akibat dibedil serangan bom. - Foto AFP
 
 
LAPORAN BERITA ASTRO AWANI TENTANG KRISIS DI SYRIA


3 September 2015: Laporan serangan bom di Lattakia


24 Ogos 2015: Laporan Kuil Bel, Palmyra diletupkan IS

 
Legasi Syria kini hanyalah sebuah kenangan dan harapan tersimpan dalam hati rakyatnya.

Doa yang tidak putus daripada umat Islam seluruh dunia serta usaha daripada mereka yang benar-benar mahu mempertahankan erti keamanan, kedaulatan dan kemanusiaan kini terus ditagih demi sebuah pengakhiran terbaik.

Salam kedamaian dan kesejahteraan buat semua!

Syria
Ayah, ibu dan anak-anak yang menjadi mangsa... Apakah khabar mereka sekeluarga? - Foto AFP