Seorang kanak-kanak Afghanistan yang mendapat perhatian dunia kerana menerima jersi yang ditandatangani bintang bola sepak Lionel Messi, kini terusir dari negaranya sendiri selepas menerima banyak ancaman telefon dan surat amaran daripada Taliban.

Nasib yang menimpa keluarga Murtaza Ahmadi itu disampaikan oleh bapanya, Mohammad Arif Ahmadi, yang kini tinggal ke bandar Quetta, Pakistan bagi memulakan kehidupan baharu.

“Hidup sekarang ini satu penderitaan,” ujar Mohammad Arif kepada AP dalam satu perbualan telefon dari Quetta.

Katanya, mereka sekeluarga tidak mahu meninggalkan Afghanistan, namun ancaman yang diterima semakin serius.

Mohammad Arif bimbang sekiranya Murtaza menjadi mangsa penculikan, lebih-lebih lagi selepas anaknya itu menjadi terkenal di internet selepas aksinya yang memakai beg plastik menyerupai jersi Messi tersebar hingga mendapat perhatian dunia.

BACA: Tak mampu beli, kanak-kanak Afghan pakai 'jersi Messi' beg plastik

BACA: Lionel Messi hantar hadiah kepada budak Afghan memakai 'jersi' plastik

Tambahnya, pada awalnya dia tidak pasti identiti panggilan ancaman itu dan menganggap pemerasan itu datangnya daripada kumpulan penjenayah yang menyangka keluarga mereka memiliki banyak wang lantaran populariti Murtaza.

Namun, dia akhirnya menyedari ancaman itu daripada Taliban selepas menerima sepucuk surat daripada kumpulan ekstremis itu, yang disampaikan seorang pemandu tempatan.

Mohammad Arif sekeluarga pada mulanya berpindah ke Istanbul namun mereka tidak dapat tinggal di situ lebih lama kerana kos sara hidup yang tinggi. Mereka mengambil keputusan untuk ke Quetta.

“Dalam surat itu, Taliban bertanya mengapa anak saya tidak dihantar mempelajari al-Quran di sekolah agama dan mengapa saya membenarkannya bermain bola sepak,” kata bapa yang bimbang itu.

Menyedari tekanan itu semakin serius, dia nekad meninggalkan Afghanistan selepas menjual semua asetnya.

Ketika kemuncak penguasaan Taliban di Afghanistan, beberapa acara sukan telah diharamkan, namun bola sepak bukan di antaranya. Bagaimanapun, sebuah stadium bola sepak utama di Kabul telah ditukar menjadi tempat pelaksanaan hukuman mati.

Awal tahun ini, Persekutuan Bola Sepak Afghanistan berjanji untuk merangka pertemuan Messi dan Murtaza, sama ada di Afghanistan ataupun di lokasi lain.

Namun, semua perancangan itu masih belum terlaksana.