Menteri Kesihatan Thailand mengadakan mesyuarat tergempar pada Ahad bersama dua kementerian lain iaitu Kementerian Pelancongan dan Kementerian Pengangkutan untuk memperincikan langkah terkini menangani penularan jangkitan novel koronavirus.

Thailand merupakan negara di luar China yang paling banyak mengesan individu yang positif jangkitan virus tersebut, iaitu lapan kes setakat ini, lapor Reuters.

“Kami mampu mengawal situasi ini dan yakin dengan kaedah kita menangani krisis,” ujar Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul.

Anutin menambah, tiga daripada mangsa yang dijangkiti sedang dirawat, manakala lima lagi telah sembuh dan dibenarkan pulang.

Sementara itu, dalam media sosial terutamanya dalam kalangan pengguna Twitter Thailand, ramai yang tidak berpuas hati dengan cara virus tersebut diuruskan oleh pihak pemerintah, selain khuatir tentang banyak isu kesihatan lain.

“Jika tiba masanya kesihatan awam dalam bahaya, kita akan mengambil lebih banyak tindakan mencegah,” ujar Anutin, yang menjamin kerajaan tidak akan mengutamakan keuntungan industri pelancongan melebihi aspek kesihatan rakyatnya.

Jelasnya lagi, keupayaan mengesan pesakit yang dijangkiti adalah petanda baik yang membuktikan sistem pemantauan di negara itu berfungsi.

China merupakan sumber terbesar pelancongan Thailand dengan hampir 11 juta pengunjung berasal dari negara itu pada tahun lalu.

Di China, terdapat hampir 2,000 kes yang disyaki jangkitan novel koronavirus dengan angka kematian berjumlah 56 mangsa. Banyak kes sumpamanya juga dikesan di lebih 10 buah negara lain termasuk Thailand.

Seorang pengguna Twitter tempatan, @headachestencil meluahkan perasaannya: “Boleh tutup jalan raya dan pulau-pulau, tapi tak boleh tutup negara ini dari kedatangan (pelancong) China demi keselamatan dan keyakinan awam. Boleh tak jangan mengutamakan Yuan lebih daripada nyawa kita semua?”

Kerajaan Thailand kini giat menyaring penumpang yang tiba dari Guangzhou di lapangan terbang utamanya seperti di Suvarnabhumi, Chiang Mai, Phuket, Don Muang dan Krabi.