RENTETAN kematian warganegara Amerika Syarikat (A.S) George Floyd di Minneapolis pada 25 Mei lalu, ramai telah bangkit memprotes ketidakadilan terhadap layanan kepada masyarakat kulit hitam di negara itu.

Kematian Floyd juga telah mendapat perhatian ramai di platform media sosial di seluruh dunia, pelbagai slogan dan kutipan dana mula diperkenalkan bagi membantu individu-individu yang tertindas atau menjadi mangsa keganasan.

BACA: Bandar-bandar utama di AS berdepan bantahan ganas

Malah, tragedi yang berlaku ini bukan sahaja mengumpulkan warga tempatan untuk hadir memprotes di sekitar jalanan bandar-bandar di A.S, malah warga dunia di beberapa negara juga turut mengambil bahagian dan bersuara tentang kejadian ini. 

Berikut Astro AWANI senaraikan negara-negara yang turut bangkit dan menganjurkan protes ke atas kes-kes keganasan polis dan krisis perkauman yang masih berleluasa pada hari ini. 

1.  United Kingdom

Ramai yang tampil berhimpun di kawasan Trafalgar Square yang terletak di kota London pada 31 Mei lalu bagi menuntut keadilan terhadap Floyd yang maut akibat keganasan polis. 

Difahamkan ribuan penunjuk perasaan telah berlutut selama sembilan minit sebagai simbol kematian Floyd apabila anggota polis yang menahannya menghempap badannya sehinggalah Floyd menghembus nafas terakhir akibat halangan pada lubang pernafasannya.

Penunjuk perasaan turut berarak di hadapan kawasan kompleks Parlimen United Kingdom. Perarakan itu lalu diakhiri di hadapan perkarangan Kedutaan Besar A.S di negera itu.

Menurut laporan Al-Jazeera, terdapat kawalan ketat oleh pihak polis bagi memastikan tiada rusuhan yang berlaku di keliling kompleks kedutaan itu.

Di luar kota London juga terdapat anjuran perhimpunan solidariti untuk George Floyd yang berlaku di bandar Cardiff dan Manchester.

2.  Jerman

Pada hari yang sama, ramai warga Berlin turut turun padang untuk menunjukkan solidariti terhadap Floyd dengan mengadakan perhimpunan tunjuk perasaan di sekitar kawasan ibu kota.

Mereka juga turut berarak di hadapan kompleks Kedutaan Besar A.S di Berlin.

Difahamkan terdapat beberapa ratus penunjuk perasaan yang tampil ke perhimpunan itu pada hari tersebut. Mereka dilihat melambaikan pelbagai plakad seperti “Justice for George Floyd,” “Stop Killing Us,” “Who’s next?”. 

Di samping itu, sebuah mural akan wajah Floyd dipamerkan di dinding Berlin yang terletak di Mauerpark sebagai tanda solidariti.

Pasukan bola sepak kebangsaan Jerman, Bundesliga juga turut menunjukkan solidariti terhadap Floyd di atas padang.

Salah seorang pemain kelab bola sepak Borussia Dortmund Jadon Sancho juga turut menunjukkan solidariti terhadap kematian Floyd. Sancho mengangkat jersi yang dipakainya yang tertulis “Justice for George Floyd” selepas berjaya menjaringkan gol hat trick ketika perlawanan bersama pasukan Paderborn pada 1 Jun lalu. 

.

3.  Kanada

Ribuan turut berarak di kota Toronto untuk membantah keganasan polis terhadap bangsa berkulit hitam. Ini seiring kes keganasan polis terhadap wanita kulit hitam, Regis Korchinski- Paquet pada 27 Mei lalu.

Perhimpunan aman tersebut dianjurkan oleh sebuah NGO yang bernama Not Another Black Life.

Selain itu, warga Montreal juga turut menyuarai bantahan mereka terhadap keganasan polis dan krisis perkauman susulan tragedi yang berlaku ke atas Floyd dengan berhimpun di sekitar bandar itu.

BACA: Jordan 'menderita, berang' kematian George Floyd