Jurucakap Kerajaan Myanmar tidak lagi akan menjawab panggilan telefon daripada media, katanya hari ini, sehari selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memutuskan ia mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat jenayah terhadap masyarakat Muslim Rohingya negara itu.

"Kami tidak akan menjawab telefon lagi selepas ini," kata jurucakap kerajaan, Zaw Htay, kepada wartawan di ibu negara Naypyidaw pada Jumaat, memetik laporan AFP.

Tambahnya, dia hanya akan melakukan persidangan media setiap satu atau dua minggu sekali.

Reputasi Myanmar semakin merosot sejak dua minggu lalu susulan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru pendakwaan ketua tentera Myanmar, Jeneral U Min Aung Hlaing dan pegawai atasan lain kerana 'pembunuhan beramai-ramai' selepas lebih 700,000 etnik Rohingya melarikan diri dari serangan tentera tahun lepas.

Pada Khamis, ICC membuat keputusan ia mempunyai kuasa untuk menyiasat pengusiran secara paksa etnik Rohingya ke Bangladesh, walaupun Myanmar belum menandatangani undang-undang yang menyokong tribunal itu.

Myanmar sebelum ini menolak sebarang kemungkinan bahawa ICC boleh mempunyai bidang kuasa ke atas negara itu.

Namun, ICC berkata pengusiran etnik Rohingya secara besar-besaran merupakan jenayah merentas sempadan, sekali gus memberikan mahkamah itu kuasa untuk menyiasat dengan lebih mendalam.

Keputusan itu bermaksud, ketua pendakwa raya ICC kini boleh memulakan siasatan awal yang mungkin boleh membawa kepada perbicaraan.