Anak perempuan Presiden Amerika Syarikat, Ivanka Trump secara tidak sengaja ‘melantik’ Perdana Menteri baharu Britain, Boris Johnson sebagai ketua di ibu negara Jamaica.

Ia memperlihatkan seolah-olah bahawa penasihat kepada presiden itu lemah dalam subjek Geografi.

Menerusi laporan Agensi, beliau menerusi Twitter sebelum itu mengucapkan tahniah ke atas Johnson atas pelantikan sebagai Perdana Menteri.

“Tahniah @BorisJohnson kerana menjadi Perdana Menteri baharu United Kingston,” katanya.

Hantaran berkenaan menerima maklum balas segera pengguna seluruh dunia yang mengambil kesempatan menjadikan ia satu jenaka kepada anak perempuan Presiden Amerika Syarikat itu.

Seorang pengguna, Garaidh Smyth yang menggunakan akaun @WeirdPsyience secara berjenaka memberitahu bahawa Ivanka sedang merancang lawatan ke Jamaica.

“Seseorang akan melawat Jamaica nampaknya,” kata pengguna itu.

Imej hantaran itu tular pada kadar segera di internet dan perkataan ‘United Kingston’ turut menjadi trending di seluruh dunia pada Selasa.

Rakyat Britain ternyata pantas mengesan kesilapan itu dan tidak melepaskan peluang mengulang kicau hantaran terbabit.


Kingston adalah ibu negara Jamaica manakala Kingston upon Thames ialah kawasan hijau di barat daya London.

Bagaimanapun Ivanka Trump memadamkan tweet mengucapkan tahniah kepada Boris Johnson untuk menjadi Perdana Menteri kepada 'United Kingdom'.