JEPUN dikenali sebagai negara 'gila kerja' (workaholic) di mana lampu di pejabat terpasang dari pagi hingga larut pagi, hampir setiap hari.

Persepsi ini mungkin berubah berikutan kajian yang dijalankan oleh Microsoft Jepun di mana pekerja hanya datang ke pejabat Isnin sampai Khamis dan hujung minggu bermula Jumaat hingga ke Ahad.

Yang lebih menarik, mereka tetap dibayar gaji kerja seminggu walaupun dikira 'ponteng' satu hari.

Lebih pelik, produktiviti pekerja meningkat, besar kemungkinan didorong pekerja yang lebih ceria dan gembira apabila datang – atau lebih tepat lagi; pulang dari kerja!

Sepanjang musim panas pada Ogos lalu, kesemua 2,300 pekerja Microsoft Jepun bermula cuti minggu pada Jumaat selama lima minggu berturut-turut tanpa sebarang potongan gaji.

Hasilnya amat menakjubkan – produktiviti warga kerja meningkat 40 peratus!

Microsoft juga merancang memberi subsidi hampir RM4,000 terhadap kos percutian setiap pekerja sebagai pakej insentif.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Jepun Takuya Hirano memberi kesimpulan; “Kerja jangan berlebihan, rehat secukupnya dan belajar banyak ilmu. Saya mahu warga kerja memikir untuk meraih pencapaian yang sama menggunakan 20 peratus lebih singkat.”

Microsoft melapor jumlah cuti yang diambil para pekerja berkurangan hingga 25 peratus dalam jangka masa 'program perintis' dijalankan dan ini merendahkan penggunaan listrik hingga 23 peratus. Penggunaan kertas cetakan pula berkurangan pada tahap 59 peratus.

Menurut akhbar Guardian dari UK, percubaan yang sama dijalankan oleh sebuah syarikat pengurusan amanah di New Zealand pada tahun 2018 melibatkan 240 warga kerjanya bagi tempoh dua bulan.

Warga kerja syarikat itu melaporkan lebih selesa dengan kewujudan waktu kerja-rehat yang lebih seimbang dan pengenduran ketegangan sebanyak tujuh peratus.