Ketegangan pertikaian Laut China Selatan menjadi tumpuan utama dalam perbincangan antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry dan Menteri Luar China, Wang Yi.

Kerry berkata Amerika akan terus menggesa China untuk menghentikan aktiviti di Laut China Selatan yang menyebabkan kebimbangan di seluruh rantau ini.

Washington mengkritik China lantaran aktiviti penambakan laut selain mempercepatkan pengujudan tujuh pulau buatan di kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

Kerry memberitahu rakan sejawatannya daripada 10 negara anggota ASEAN bahawa beliau sudah mengadakan mesyuarat dengan Wang Yi yang mana hasilnya amat memberangsangkan dengan melihat beberapa perincian semasa pertemuan itu.

"Kami mahu memastikan keselamatan laluan laut kritikal dan kawasan menangkap ikan selain untuk melihat bahawa kawasan pertikaian diurus secara aman dan berdasarkan undang-undang antarabangsa.

"Saya sangat berharap pada mesyuarat sepanjang hari ini dan esok kita akan mencari jalan untuk bergerak ke hadapan dengan berkesan dan bersama-sama," ujar Kerry semasa ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN - Amerika.

Dalam ucapan pembukaan selepas perjumpaan bersama Kerry, Wang Yi berkata China akan meneruskan perbincangan damai dalam menyelesaikan pertikaian Laut China Selatan.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan butiran perjumpaan bersama Kerry.

Wang Yi pada Isnin menyifatkan gesaan untuk menghentikan aktiviti di Laut China Selatan adalah tidak realistik.