Kes positif COVID-19 di Indonesia terus bertambah dengan 1,268 kes lagi dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 66,226 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 68 lagi kematian direkodkan, menjadikan keseluruhan mereka yang maut akibat COVID-19 di negara itu berjumlah 3,309 orang.

"Sebanyak 13,471 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19," katanya pada sidang media hariannya yang disiarkan menerusi saluran YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, pada Rabu.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,079 kes, diikuti Jakarta (661 kes), Jawa Tengah (220), Kalimantan Selatan (205) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA