Perdana Menteri Malta pada Ahad mengumumkan akan melepaskan jawatan pada Januari susulan tekanan yang diterima berhubung dakwaan kerajaannya terlibat dalam kejadian letupan bom kereta pada 2017 yang mengorbankan seorang wartawan.

Dalam ucapan yang disiarkan melalui televisyen, Perdana Menteri Joseph Muscat berkata, beliau telah memaklumkan kepada Presiden Malta, akan menulis surat kepada presiden Parti Buruh yang memerintah.

Ia bagi menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan sebagai pemimpin parti pada 12 Januari.

"Selepas itu, saya akan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri," katanya.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas ribuan penduduk mengadakan protes jalanan di ibukota, menuntut peletakan jawatan Muscat.

Terdahulu, hampir 20,000 penduduk Malta mengadakan tunjuk perasaan menggesa Muscat meletak jawatan selepas didakwa mempunyai kaitan dengan pembunuhan wartawan penyiasatan Daphne Caruana Galizia.

Daphne maut selepas keretanya diletupkan dalam kejadian pada 2017.

Kumpulan penunjuk perasaan berarak dan berkumpul di luar mahkamah di Valletta, yang menyaksikan jumlah penyertaan terbesar setakat ini, meluahkan kemarahan terhadap kerajaan pimpinan Muscat.

Minggu lalu, bekas ketua turus kepada Muscat, Keith Schembri, meletak jawatan selepas dikaitkan dengan kes kematian tersebut.

Daphne semasa hayatnya sering mendedahkan kegiatan rasuah membabitkan ahli politik dan ahli perniagaan elit di negara itu, ketika menjalankan tugas.