Kes positif COVID-19 di Indonesia berterusan meningkat kepada 72,347 kes, iaitu tambahan 1,611 kes baru dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 52 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 3,469 orang.

"Sebanyak 13,882 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19," katanya dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi, iaitu 1,152 kes, diikuti Jakarta (671 kes), Jawa Tengah (235), Kalimantan Selatan (211) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Provinsi tertinggi kes positif keseluruhan adalah di Jawa Timur, iaitu sebanyak 15,730 kes, diikuti Jakarta (13,739 kes) dan selebihnya di 32 lagi provinsi lain.

-- BERNAMA