Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan 70 lagi kes jangkitan COVID -19, dengan empat kes melibatkan rakyat Malaysia pemegang Pas Kerja Singapura.

Ini adalah angka kes positif tertinggi yang direkodkan di Singapura setakat ini, dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 802.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, MOH berkata daripada 70 kes positif, 41 adalah kes dari luar dan 29 kes tempatan yang tiada rekod terkini perjalanan ke luar negara.

Semua 41 kes mempunyai sejarah melawat ke Eropah, Amerika Utara, ASEAN dan lain-lain negara di Asia, katanya.

Dua kes dari luar melibatkan dua lelaki rakyat Malaysia masing-masing berusia 28 dan 47 tahun yang dirawat di wad Hospital Besar Ng Teng Fong dan Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Sementara itu, dua lagi rakyat Malaysia, seorang wanita berusia 36 tahun dan seorang lelaki berusia 26 tahun merupakan sebahagian daripada 29 kes tempatan baharu.

Pesakit wanita itu tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kes terdahulu dan kini dirawat di Hospital Khoo Teck Puat sementara lelaki itu yang mempunyai kaitan dengan kluster SingPost Centre di Eunos Road dan kini ditempatkan di NCID.

Menurut kementerian itu, 15 lagi kes jangkitan COVID-19 sudah dibenarkan keluar hospital atau fasiliti isolasi komuniti pada Sabtu, menjadi jumlah keseluruhan yang pulih sepenuhnya kepada 198.

Daripada 420 kes disahkan dan masih di hospital, kebanyakan mereka dalam keadaan stabil atau beransur pulih sementara 19 lagi dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, katanya.

Setakat 12 tengah hari semalam, MOH mengenal pasti 10,875 kontak rapat yang dikuarantin.

-- BERNAMA