Tutup

Berita  | Dunia

Kesatuan Eropah mahu haramkan produk plastik sekali guna

Kesatuan Eropah mahu haramkan produk plastik sekali guna
Penyedut minuman adalah salah satu contoh produk plastik sekali guna. Selepas sekali ia digunakan, ia akan menjadi bahan sisa yang dibuang begitu sahaja. - Reuters
BRUSSELS : Suruhanjaya Eropah pada Isnin mencadangkan pengharaman sepenuhnya produk plastik sekali guna seperti putik kapas dan penyedut minuman plastik, selain meletakkan beban pembersihan sisa tersebut ke atas pihak pengeluar.

Semua itu adalah sebahagian daripada usaha menyelamatkan alam sekitar khususnya lautan.

Di bawah cadangan itu, produk-produk plastik sekali guna yang sudah ada alternatif akan diharamkan penggunaannya dan akan diganti dengan material yang lebih mesra alam sekitar.

Cadangan itu juga memerlukan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) mengumpulkan 90 peratus botol minuman plastik sekali guna menjelang tahun 2025, dan pihak pengeluar perlu membantu menanggung kos pengurusan bahan buangan dan kerja pembersihan.
"Bahan buangan plastik tidak dapat dinafikan menjadi isu besar dan Eropah perlu bertindak bersama untuk menangani masalah tersebut, kerana sampah-sarap itu akan berakhir dalam udara, tanah, laut dan makanan kita," ujar Naim Presiden Suruhanjaya EU, Frans Timmermans.

Bahan plastik yang terkumpul di lautan sedunia kini menjadi isu polisi besar bagi kerajaan-kerajaan, seiring dengan amaran daripada saintis mengenai impaknya terhadap rantaian makanan.
Satu kajian yang disiarkan dalam jurnal dalam talian, Scientific Reports, menganggarkan hamparan sampah berjumlah 79,000 tan metrik yang terdiri daripada 1.8 trilion kepingan plastik, telah terbentuk di Lautan Pasifik.

Sampah tersebut kebanyakannya adalah jaring nelayan, bekas plastik, pembungkus dan tali.

Awal tahun ini, Britain juga menyatakan hasratnya untuk mengharamkan penjualan penyedut minuman plastik dan pelbagai lagi produk sekali guna.

Cadangan suruhanjaya itu masih perlu diluluskan Majlis dan Parlimen Eropah, dan suruhanjaya itu berkata ia mengharapkan cadangan itu menerima lampu hijau sebelum pilihan raya Eropah pada Mei 2019.