Seorang saintis terkemuka di Wuhan, China menuntut permohonan maaf daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kerana mendakwa virus COVID-19 bocor dari makmalnya.

Ketua Saintis di Pusat Penyakit Berjangkit Institut Virologi Wuhan, Shi Zhengli turut mengutuk keputusan Institut Kesihatan Nasional (NIH) yang menghentikan pembiayaan penyelidikan pada April lalu.

Pusat Penyakit Berjangkit di Institut Virologi Wuhan yang berpusat di China itu merupakan makmal yang bertanggungjawab mengkaji virus COVID-19 dan menjalankan aktiviti penyelidikan bersama EcoHealth Alliance yang berpusat di New York.

"Presiden AS mendakwa virus SARS-CoV-2 bocor dari makmal ini dan ia secara jelas bertentangan dengan fakta sebenar.

"Dakwaan itu cukup membahayakan dan mempengaruhi kerja dan kehidupan peribadi kami.

"Beliau (Trump) harus minta maaf," katanya memetik laporan South China Morning Post.

Shi dikenali dengan gelaran 'wanita kelawar' menjalankan penyelidikan dengan Ketua EcoHealth Alliance, Peter Daszak bagaimana virus COVID-19 yang berpunca daripada kelawar boleh menjangkiti manusia.

Punca virus itu masih belum diketahui bagaimanapun para saintis percaya ia disebabkan daripada kelawar seterusnya menjangkiti manusia menerusi paru-paru.

"Kami mengesan asid dalam virus SARS-CoV-2 menerusi sampel persekitaran yang diambil dari pemegang pintu dan kawasan pasar Huanan, tapi kami tidak menemui asid tersebut dalam sampel haiwan sejuk beku," katanya.