Berita  | Dunia

'Khamenei pembunuh!' - Protes di Iran desak pemimpin tertinggi letak jawatan

'Khamenei pembunuh!' - Protes di Iran desak pemimpin tertinggi letak jawatan
Ribuan penunjuk perasaan berhimpun pada Sabtu bagi menyelar tindakan pemimpin kerajaan yang mengaku tenteranya menembak jatuh pesawat penumpang Ukraine Rabu lalu. -AP
RIBUAN penunjuk perasaan berhimpun pada Sabtu bagi menyelar tindakan pemimpin kerajaan yang mengaku tenteranya menembak jatuh pesawat penumpang Ukraine Rabu lalu.

Penunjuk perasaan di Tehran dan beberapa bandar lain dikatakan berang dengan kerajaan Iran kerana gagal menutup ruang udara dan lapangan terbang awam negara itu ketika tentera diletakkan dalam keadaan berwaspada ekoran kemungkinan serangan balas pesawat tempur Amerika Syarikat.

Pesawat malang milik Ukraine itu dibenarkan untuk berlepas dari Lapangan Terbang Tehran dan ditembak jatuh beberapa minit kemudian dan mengorbankan 176 penumpang.

Penunjuk perasaan juga marah kerana kerajaan didakwa menipu mereka tentang punca kemalangan selama tiga hari dan mengklasifikasikannya sebagai kemalangan.

Mereka menyalahkan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khameini atas tindakan melulu tenteranya itu menembak jatuh pesawat penumpang yang turut dinaiki rakyat Iran.

Pemprotes yang dikawal ketat polis antidemonstrasi dilihat turut mengangkat plakad dan melaungkan "Khamenei seorang pembunuh". 

Kebanyakan penunjuk perasaan merupakan pelajar universiti dan mereka mendakwa nyawa yang terkorban terdiri daripada pelajar dari Iran dan Kanada.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Iran terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menenangkan tunjuk perasaan berkenaan.

Di media sosial, ramai warga Iran menyamakan kejadian malang yang ditimpa pesawat berkenaan dengan peristiwa Chernobyl Iran iaitu kegagalan pihak kerajaan dalam menutup bencana nuclear pada 1986.