Tutup

Berita  | Dunia

Khusyuk main 'games', punggung budak 6 tahun tersangkut mangkuk tandas

Khusyuk main 'games', punggung budak 6 tahun tersangkut mangkuk tandas
Kanak-kanak malang itu tersangkut dalam mangkuk tandas hampir dua jam/Foto: Pear Video
BAIK buruk permainan video dan internet pada masa kini perlu dipandang serius oleh semua pihak terutamanya dalam kalangan ibu bapa kerana ia mungkin menjurus ke arah perilaku atau insiden negatif terhadap anak-anak.

Demikian yang berlaku kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun apabila dia terpaksa menanggung kesakitan hampir dua jam selepas tersangkut dalam mangkuk tandas, pada Jumaat.
Daily Mail melaporkan dalam kejadian di Wuhan, Beijing itu, kanak-kanak malang itu dikatakan terlalu ‘khusyuk’ melayan permainan video ketika membuang air.

Akibatnya, ibu mangsa terpaksa menghubungi bomba bagi menyelamatkan kanak-kanak itu selepas usaha untuk mengeluarkan dia dari dalam mangkuk tandas tidak membuahkan hasil.
Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat Yangchahu, Zhou Dao dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada ibu mangsa.

Katanya, sebaik sahaja anggota bomba tiba di lokasi kejadian mereka mendapati paha, punggung serta pinggang mangsa sudah tenggelam dalam mangkuk tandas dan usaha menyelamat mengambil masa lebih satu jam.

Ketika proses menyelamat, anggota bomba menenangkan mangsa dengan berbual dengannya, sementara anggota lain menggunakan alatan dan tangan untuk memecahkan bahagian pelapik mangkuk tandas.

“Kami tidak dapat menggunakan alatan yang besar kerana takut ia akan menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak itu,” kata Zhou.

Mangsa dilaporkan mengalami lebam pada bahagian punggung dan paha.

Untuk rekod, media antarabangsa tahun lalu melaporkan gara-gara bermain permainan atas talian selama lebih 20 jam tanpa henti, seorang remaja lelaki di China mengalami kelumpuhan dari paras pinggang ke bawah.

 


Tag: Budak, Tersangkut Dalam Tandas, Ketagih Permainan Atas Talian, Ibu Bapa, Internet



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.