BLACKPINK yang popular dengan lagu “ddu-du ddu-du” dengan rekod tontonan klip video mereka sebanyak 722 juta di laman Youtube bakal melancarkan album baharu “Kill This Love” pada 5 April ini.

YG Entertainment telah mengeluarkan imej menerusi laman web rasmi mereka yang menunjukkan ahli kumpulan, Lisa, sebagai tanda persiapan bagi peminat BLACKPINK untuk bersedia dengan “comeback” dari kumpulan itu.

Menurut pengurusan YG Entertainment, tajuk lagu utama "Kill This Love," dalam album itu bakal menjadi kegilaan seperti “ddu-du ddu-du”, merujuk pada lagu utama album sebelumnya BLACKPINK yang dikeluarkan pada bulan Jun tahun lepas.

"Koreografi yang akan datang (lagu), merupakan koreografi bertaraf kelas dunia jadi ia akan menghasilkan sesuatu yang lebih dinamik daripada apa yang BLACKPINK telah berikan setakat ini.

"Ia akan memenuhi harapan peminat." tambah YG Entertainment lagi.

Pelancaran album berkenaan diadakan seminggu lebih awal daripada kemunculan BLACKPINK di Festival Muzik Coachella 2019, yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 21 April ini di California, Amerika Syarikat.

Bermula 17 April, kumpulan itu akan memulakan lawatan ke Amerika Utara bagi menjayakan lapan persembahan di enam bandar besar termasuk Los Angeles, Chicago dan Hamilton di Kanada.

BLACKPINK juga telah tercalon dalam kategori "Global Music Star" di Anugerah Pilihan Kanak-kanak Nickelodeon tahunan yang diadakan baru baru ini.

Kumpulan berkenaan bersaing dengan artis dari seluruh dunia seperti Taylor Swift, David Guetta, J Balvin dan Troye Sivan.

Pemenang anugerah itu kebanyakannya berdasarkan undi peminat dan "faktor lain", menurut laporan allkpop.

BACA: BLACKPINK 'comeback' hujung Mac, ringankan beban kewangan YG Entertainment?