Ura-ura yang menyatakan bahawa Kim Jong Un melawat negara China akhirnya terjawab apabila Presiden China, Xi Jinping mengesahkan lawatan oleh pemimpin tertinggi Korea Utara itu.

Laporan media tempatan China turut menyatakan bahawa Jong Un bersetuju untuk memastikan langkah bebas nuklear dilaksanakan, sekali gus menjawab persoalan mengenai kemelut isu nuklear di Semenanjung Korea.

Sebagai tanda persetujuan, China juga akan mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua negara komunis itu.

Menurut Jong Un, isu bebas nuklear di Semenanjung Korea dapat diselesaikan jika Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) memberi kerjasama baik terhadap usaha yang telah dilakukan.

“Ia bagi memastikan keadaan aman dan stabil di samping mengambil langkah bersama yang progresif ke arah mewujudkan keamanan,” katanya seperti yang dipetik dalam laporan berita Xinhua.

Selain itu, Jong Un turut dilaporkan berkata, Korea Utara bersedia untuk bertemu serta berbincang dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Mei nanti.

Namun, menurut laporan media tempatan Korea Utara, KCNA, tiada kenyataan berkaitan langkah bebas nuklear yang dipersetujui mahupun perjumpaan dengan Trump dilaporkan.

Lawatan 'tidak rasmi' itu merupakan lawatan pertama Jong Un yang keluar dari bumi republik tersebut selepas memegang tampuk pemerintahan sejak 2011.

BACA: Kim Jong Un tinggalkan bumi Korea Utara buat pertama kali dalam sejarah sejak memerintah

Terdahulu, hubungan baik dua negara itu terjejas apabila Beijing bersetuju dengan keputusan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengutuk tindakan Korea Utara membuat ujian peluru berpandu.