Kira-kira 40 penerbangan di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi terjejas susulan kebakaran kecil yang berlaku di bilik yang menempatkan alat pendingin hawa pada Selasa.

Pihak lapangan terbang berkata mereka akan bekerjasama dengan pihak keselamatan untuk menyiasat kejadian itu.

Alat penggera berbunyi kira-kira 5.40 petang dan kerja-kerja memindah segera dilakukan.

Dalam satu kenyataan malam tadi, pihak lapangan terbang berkata bagi memastikan keselamatan penumpang dan pengunjung, Terminal 2 telah ditutup dan semua aktiviti ketibaan dan pelepasan pesawat dipindahkan ke Terminal 3.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memberi lampu hijau Terminal 2 boleh digunakan kira-kira 10.00 malam pada hari yang sama.

Susulan itu, operasi penerbangan di Terminal 2 berjalan semula dengan beberapa penerbangan menggunakan terminal bekenaan.

Bagi penumpang yang tiba dan berlepas hari ini, pihak lapangan terbang menasihati mereka agar menyemak laman sesawang, aplikasi atau saluran media sosial untuk mendapat maklumat terbaharu.

Menurut maklumat yang diterima pihak lapangan terbang, dua individu di terminal dihantar ke hospital bagi pemantauan setelah mereka mendapat bantuan perubatan daripada kakitangan lapangan terbang.

Empat lagi dibawa ke klinik di Terminal.

-- BERNAMA