FOTO yang diambil pada tahun 1993 ini memaparkan seorang kanak-kanak duduk mengerekot sambil diperhati seekor burung hering, di Ayod, Sudan.

Foto ini turut diiktiraf antara 100 gambar paling berpengaruh sepanjang zaman oleh portal berita antarabangsa TIME.com.

Jurugambarnya, Kevin Carter memenangi anugerah Pulitzer bagi gambar tersebut.

Namun, ramai yang tertanya-tanya apa yang berlaku kepada kanak-kanak mangsa kebuluran itu yang dilapor dalam perjalanan menuju ke pusat pengagihan makanan.

Malah, persoalan lebih utama ialah mengapa jurugambar tersebut tidak membantu kanak-kanak itu, sebaliknya hanya mengambil gambarnya sahaja.

Saat terdesak kanak-kanak itu menunggu mati sambil diperhati burung hering

Menurut laporan, Kevin mengalami trauma yang teruk apabila mengingati pengalaman perit yang terjadi di hadapan matanya.

“Saya dihantui pengalaman pembunuhan, kematian, kemarahan dan kesakitan,” katanya ketika menggambarkan insiden perkauman yang berlaku di Selatan Afrika ketika itu.

Menurut Carter, dia diberitahu supaya tidak menyentuh kanak-kanak itu kerana bimbang dijangkiti penyakit malaria.

Dia hanya menyalakan sebatang rokok dan berdoa agar burung itu terbang ke tempat lain.

Kevin membunuh diri setahun kemudian.

Laporan media menyatakan bahawa kanak-kanak tersebut terselamat daripada menjadi mangsa burung hering itu, namun meninggal dunia 14 tahun kemudian akibat demam malaria.