Korea Selatan kembali merekodkan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 sejak beberapa minggu lalu susulan pelonggaran sekatan di negara itu.

Pada Rabu, 40 kes positif direkodkan sekali gus merupakan antara peningkatan tertinggi sejak 50 hari lalu. Perkara itu cukup membimbangkan memandangkan sesi persekolahan baru kembali dibuka.

Timbalan Menteri Kesihatan, Kim Kang-Lip memaklumkan, daripada jumlah itu, 37 kes adalah dari kluster kelab malam Itaewon, manakala tiga lagi kes adalah kes import.

Untuk rekod, negara itu kini mencatatkan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 11,265 kes dengan 269 kematian.

Ketika ini, pihak berkuasa sedang melakukan saringan terhadap 3,600 pekerja syarikat e-dagang, Coupang, selepas mengenal pasti beberapa kes positif dalam kalangan pekerja mereka.

Terdahulu, lebih dua juta pelajar Korea Selatan kembali ke sekolah pada pagi Rabu selepas penularan wabak COVID-19 mengehadkan pergerakan rakyat di republik tersebut.

Fasa kedua pembukaan semula sekolah tersebut melibatkan pelajar tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Ia sebagai usaha kerajaan Korea Selatan dalam membantu rakyatnya membiasakan diri kembali menjalani kehidupan dengan normal baharu.

BACA: Lebih 2 juta pelajar di Korea Selatan kembali ke sekolah

BACA: Penjarakan sosial? Korea Selatan anjur konsert pandu masuk