Angka kematian akibat penularan kluster novel koronavirus (2019-nCoV) di China kini meningkat kepada 81 orang.

Menurut laporan Reuters, jumlah kes yang disahkan, telah meningkat sebanyak 30 peratus, iaitu sebanyak 2,761 kes, kebanyakkannya di Wilayah Hubei, dimana ibu kotanya adalah Wuhan.

Laporan itu menyebut Perdana Menteri China, Li Keqiang telah melawat Wuhan, bandar yang dikatakan bermulanya penularan wabak itu, sebagai satu petanda betapa Kerajaan China mengambil serius mengenai virus itu.

Hong Kong, yang kini mempunyai lapan kes positif, telah pun mengenakan larangan ke atas penduduk luar yang melawat Hubei dalam tempoh 14 hari sebelum ini, namun larangan itu tidak terpakai keatas penduduk Hong Kong.

Li, merupakan pemimpin negara paling senior melawat Wuhan sejak penularan bermula. Lengkap dengan suit dan peralatan perlindungan diri, beliau memeriksa usaha untuk mengekang penularan itu, serta bercakap dengan pesakit dan anggota perubatan.

Dalam pada itu, Kerajaan China juga telah memanjangkan tempoh cuti Tahun Baharu Cina selama tiga hari, kepada 2 Februari ini, dalam usaha melambatkan penularan virus itu.

[LAPOR LANGSUNG] Hati-hati dengan wabak koronavirus!