JUMLAH kes yang disahkan positif jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) setakat ini telah mencecah 6,052, menurut pihak berkuasa kesihatan China pada Rabu.

Angka tersebut melebihi bilangan yang terlibat dalam kes Sars, wabak yang mengorbankan lebih 600 orang di seluruh dunia pada 2002-2003.

South China Morning Post melaporkan, terkini, jumlah kematian telah meningkat kepada 132, dengan 840 kes yang baru disahkan di wilayah Hubei.

Dalam kes Sars, ia telah menjangkiti 5,327 orang di tanah besar China dalam masa sembilan bulan dan mengorbankan 349 nyawa, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WTO).

Kesemua kematian akibat jangkitan koronavirus baru tersebut dilaporkan di tanah besar China, dengan 125 daripadanya di wilayah Hubei, di mana wabak itu bermula, dan tujuh di wilayah lain.

Kira-kira 3,300 orang dimasukkan ke hospital di wilayah Hubei, dengan lebih 20,000 diletakkan dalam pemantauan akibat jangkitan tersebut.

Kebanyakan pesakit yang meninggal dunia berumur lebih 60 tahun dan mempunyai masalah kesihatan sedia ada, menurut laporan pihak berkuasa tempatan.

Koronavirus boleh dijangkiti melalui hubungan rapat antara sesama manusia, menurut pakar perubatan China.