Angka kematian akibat koronavirus baharu (2019-nCoV) di China kini meningkat kepada 1,016, menurut laporan Kementerian Kesihatan negara itu pada Selasa.

Malah, buat pertama kali, jumlah kematian harian akibat virus berkenaan di negara itu mencecah lebih 100 orang, berbanding kurang 100 setiap hari sebelum ini.

Sebanyak 108 kematian dilaporkan berlaku dalam tempoh masa 24 jam yang lalu.

Jumlah keseluruhan kes positif 2019-nCoV dalam masa 24 jam yang lalu turun kepada 2,478, berbanding 3,062 kes pada hari sebelumnya.

Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes 2019-nCoV di tanah besar China setakat ini sebanyak 42,638 orang, dengan sebahagiannya telah menjalani rawatan, pulih dan dibenarkan pulang.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Koronavirus Angka korban terus meningkat, lebih 1,000 maut

Di sebalik perkembangan itu, kebanyakan pejabat dan kedai di China mula dibuka semula selepas tutup akibat penyebaran wabak 2019-nCoV.

Bagaimanapun, penduduk masih mengambil langkah berjaga-jaga dan lebih selamat dengan berada di rumah masing-masing.

Pihak berkuasa kesihatan awam ketika ini sedang memantau rapat perkembangan terbaharu di negara itu terutama pekerja yang mula pulang ke bandar bagi menyambung pekerjaan mereka.