APPLE mengambil langkah menutup operasi rangkaian kedainya di China buat sementara waktu susulan wabak koronavirus.

Laman web Apple di China memaklumkan bahawa semua 42 buah kedai akan ditutup sehingga 9 Februari.

"Berdasarkan perkembangan dan nasihat daripada pakar kesihatan, kami menutup semua pejabat korporat, kedai dan pusat hubungan kami di tanah besar China sehingga 9 Februari.

"Kami akan terus memantau keadaan dan kami berharap dapat membuka semula kedai kami secepat mungkin," kata Apple kepada CNN Business dalam satu kenyataan.

[LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 300 nyawa


Hampir 12,000 kes telah disahkan di seluruh dunia, dengan lebih daripada 11,800 orang di China. Sekurang-kurangnya 26 negara lain telah melaporkan kes, termasuk tiga di Jepun, dua di UK dan dua di Australia Sabtu.

Beijing telah mengambil pelbagai langkah untuk mengekang penyebaran virus itu, termasuk lockdown di bandar-bandar utamanya dan memanjangkan cuti Tahun Baru Cina.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook memberitahu Apple telah mengambil langkah seperti pembersihan yang kerap dan melakukan pemeriksaan suhu pada pekerja untuk mengelakkan penyebaran virus.

Beliau juga menjangkakan penurunan dalam perdagangan runcit dan penutupan kedai akan memberi kesan negatif kepada hasil jualan.

Jualan di China membentuk kira-kira 15% daripada jumlah pendapatan keseluruhan Apple.