Berita  | Dunia

Koronavirus: China catat kematian keempat, 217 kes baharu dikesan

Koronavirus: China catat kematian keempat, 217 kes baharu dikesan
Mangsa terbaharu adalah seorang lelaki berusia 89 tahun. - Gambar hiasan
BEIJING: China mencatatkan kematian keempat akibat serangan koronavirus misteri di Wuhan, kata pihak berkuasa kesihatan tempatan pada Selasa.

Mangsa terbabit, seorang lelaki berusia 89 tahun, adalah mangsa terbaharu virus yang dikaitkan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) itu.

Lelaki terbabit dilaporkan jatuh sakit pada 13 Jan dan dimasukkan ke hospital kerana kesukaran bernafas lima hari kemudian, menurut satu kenyataan oleh pihak berkuasa Wuhan.

Dia meninggal dunia pada keesokan harinya.

Kenyataan itu berkata pesakit juga menghidap beberapa masalah kesihatan lain seperti hipertensi, diabetes dan jantung.

Ketika ini terdapat 169 pesakit yang dirawat di hospital di Wuhan, tambah pihak berkuasa.

Kerajaan Beijing pada hari Isnin membuat kenyataan bahawa virus itu boleh berjangkit dari seorang individu kepada individu lain.

Pihak berkuasa mengesahkan sejumlah 217 kes baharu virus itu di China setakat jam 6 petang Isnin, lapor stesen televisyen negeri.

Daripada jumlah itu, sebanyak 198 kes dikesan di Wuhan, di mana penyakit itu mula-mula ditemui.

Virus itu telah tersebar ke bandar-bandar lain di China, dengan Beijing dan Shanghai mengesahkan kes pertama mereka pada hari Isnin, sementara lebih 12 kes dikesan di wilayah selatan Guangdong.

Ia juga tersebar di luar China, dengan Jepun, Korea Selatan dan Thailand sudah mengesahkan kes di negara masing-masing.