SELEPAS Wuhan, China menutup satu lagi bandar di negara itu ketika angka korban koronavirus baru mencecah 362 orang pada Ahad.

Ia melibatkan Wenzhou, dalam wilayah Zhejiang, yang terletak kira-kira 800 kilometer dari Wuhan, pusat tercetusnya wabak novel koronavirus 2019 n-CoV.

Pihak berkuasa hanya membenarkan seorang ahli dari setiap keluarga untuk keluar dari rumah masing-masing bagi membeli barang keperluan.

Perkhidmatan pengangkutan awam di Wenzhou turut digantung dengan 46 lebuh raya ditutup.

Sebanyak 661 kes disahkan positif 2019 n-CoV di wilayah Zhejiang, dengan Wenzhou mencatatkan 265 kes.

Angka ini adalah yang tertinggi selepas kes yang direkodkan di wilayah Hubei.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 300 nyawa

Wabak koronavirus yang tercetus dari Wuhan itu kini menjangkiti hampir 17,000 orang di China dan 24 negara lain.

Kebanyakan kes di luar negara melibatkan individu yang melawat Wuhan, dalam wilayah Hubei.