PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengesahkan kes pertama jangkitan koronavirus daripada ‘person-to-person transmission’ (jangkitan daripada manusia ke manusia) di negara berkenaan.

Kes pertama jangkitan manusia ke manusia itu disahkan berlaku di Illinois yang mana mangsa kedua di negeri itu dan merupakan kes keenam yang disahkan positif di Amerika Syarikat.

Seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 60-an dipercayai tidak pernah dan bukan baru pulang dari bandar Wuhan, China namun telah dijangkiti virus itu daripada isterinya sendiri.

Isteri lelaki itu yang berusia 60-an dikatakan telah merantau ke bandar Wuhan, pusat epidemik tersebut baru-baru ini, dan disahkan positif jangkitan wabak novel koronavirus.

Akibat daripada mengadakan kontak rapat sehingga mengakibatkan suaminya itu dijangkiti virus tersebut, masing-masing telah dikenakan perintah kuarantin dan diasingkan di hospital.

Bagaimanapun, pegawai kesihatan AS menegaskan bahawa risiko untuk ia merebak kepada warga lain di Illinois adalah kurang sama sekali.

Menurut kenyataan, pihaknya percaya bahawa virus berkenaan tidak menular secara meluas sehingga mampu menjejaskan kesihatan orang lain di sekitar kawasan itu.

Pada masa sama, pihak mereka juga memaklumkan bahawa akan sentiasa memastikan penjagaan kesihatan kakitangan yang bertugas di hospital bagi merawat mangsa wabak berkenaan.


‘Human to human transmission’ bukan sahaja di Amerika Syarikat

Dalam pada itu, Korea Selatan pada Khamis juga melaporkan dua lagi kes koronavirus baru sekali gus menjadikan ia sebagai kes keenam di negara tersebut.

Disahkan bahawa salah satu daripada dua kes baru tersebut ialah berpunca daripada jangkitan manusia ke manusia, yang mana ia melibatkan seorang lelaki berusia 56 tahun.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Korea Selatan, kes pertama jangkitan manusia ke manusia itu telah mengadakan kontak rapat atau berkemungkinan melakukan sentuhan dengan salah satu mangsa positif koronavirus sebelum ini.

Manakala kes kedua daripada kes terbaru itu, dipercayai melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang baru pulang dari bandar Wuhan, China.

Untuk rekod, kes jangkitan daripada manusia ke manusia turut dilaporkan di beberapa negara lain antaranya Jerman, Jepun, Vietnam dan Taiwan.

Sehingga kini, sebanyak 5,806 kes koronavirus dilaporkan telah berlaku di wilayah Hubei, China manakala angka kematian akibat koronavirus pula meningkat kepada 213 kes berbanding 171 kes semalam.