Beberapa siri letupan kecil menggegarkan kota Bangkok pada pagi Jumaat di sekurang-kurangnya empat lokasi berbeza, menyebabkan kecederaan ringan kepada sekurang-kurangnya dua pekerja pembersihan jalan.

Antara lokasi yang terjejas termasuk Chong Nonsi dan Chang Wattana.

Menurut wartawan Channel News Asia, Saksith Saiyasombut, bunyi letupan dapat didengari pada pagi ini dari hadapan bangunan Mahanakorn yang terletak di stesen keretapi Chong Nonsi.

Manakala di Chang Wattana, disahkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga letupan yang berlaku pada sekitar pukul 6, 7:30 dan 9 pagi.

Kawasan-kawasan tersebut telah ditutup bagi membolehkan pihak berkuasa Thailand menjalankan siasatan.

Sementara itu, Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-52/Pasca Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan (AMM/PMC ke-52) sedang berlangsung di bandar raya ini hari ini.

Ia dihadiri ramai wakil sedunia seperti Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo serta menteri-menteri luar dari China, Rusia, Jepun dan Korea Selatan.

Majlis yang turut dihadiri Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah itu berlangsung dari 28 Julai hingga 3 Ogos.

Bagaimanapun, siri letupan kecil tersebut dilaporkan tidak menjejaskan kelancaran mesyuarat antara menteri-menteri luar itu dan semua pemimpin yang hadir disahkan selamat.