Berita  |  Dunia

Krisis fahaman Syiah dan Sunni di Yaman makin getir

Krisis fahaman Syiah dan Sunni di Yaman makin getir
Yaman sedang berada di ambang lebih getir dengan jutaan lagi rakyatnya bakal terhimpun dalam krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah dunia.
KUALA LUMPUR: Konflik dan krisis kemanusiaan di Yaman belum berpenghujung, malah mungkin berdepan musibah lebih besar jika tidak dibendung.

Bermula dengan perselisihan kecil berhubung isu fahaman atau pegangan Sunni dan Syiah di Yaman yang kemudiannya merebak menjadi wabak yang tidak terkawal.

Hasilnya sehingga November 2017, hampir tujuh juta penduduk Yaman berdepan masalah kebuluran dan kesihatan yang kronik.

Derita itu meningkat apabila wujud campur tangan luar yang secara diplomatiknya dilihat hubungan dua hala rasmi Arab Saudi-Yaman dan Iran-Yaman.

Riyadh bertindak menutup pelabuhan bagi kemanusiaan, dan Tehran (melalui kumpulan pemberontak Houthi) menutup laluan darat bagi kemasukan bekalan bantuan kemanusiaan.

Melihat konflik berpanjangan dan keperitan hidup rakyat Yaman hampir tujuh tahun sejak 2011 itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan krisis kemanusiaan Yaman sebagai paling buruk dalam sejarah dunia.

Rentetan itu, negara dunia mula memberi tekanan kepada kedua-dua negara yang terlibat secara langsung dalam konflik terbabit agar mengendurkan sekatan dan berusaha menjadi perantara bagi keamanan Yaman.

Nyata usaha itu berhasil, tanpa kita sedar dan tahu di mana ia bermula, pemimpin tertinggi kumpulan pemberontak Houthi Ali Abdullah Saleh merintis jalan keluar lebih awal berbanding yang sedang cuba dilakukan Presiden Abed Rabbo Mansor Hadi.

Pada Oktober 2017, Ali membuat keputusan menubuhkan sebuah lagi pasukan baharu dan tidak lagi memimpin kumpulan pemberontak Houthi.

Namun asasnya sama iaitu perjuangan dan fahaman masih berpaksikan Syiah dan Iran.
Ali mahu jalan penyelesaian terbaik dengan berbincang secara langsung dengan pentadbiran Abed Rabbo dan Arab Saudi.

Keputusan Ali itu nyata dibenci kumpulan pemberontak Houthi. Mereka menggelar Ali sebagai 'pemimpin pengkhianat' dan halal untuk dibunuh.

Susulan peletakan jawatan itu, kumpulan pemberontak Houthi dipimpin keturunan itu sendiri iaitu Abdul-Malik Badreddin al-Houthi yang kini berusia 38 tahun.

Kenapa Abdul Malik tidak dilantik dari dahulu lagi untuk memimpin.

Jawapannya mudah, waris dinasti Houthi itu masih muda ketika kebangkitan Arab Spring tercetus pada 2011 dan Ali dipilih sebagai individu paling layak dan berpengalaman.

Selama sebulan usaha menjejak Ali dan menewaskan kumpulan dipimpin Ali gagal dilakukan pemberontak Houthi walaupun serangan dilakukan di kediaman Ali di Sanaa.

Pada tanggal 4 Disember 2017, misi balas dendam kumpulan pemberontak Houthi yang dipimpin Abdul-Malek berjaya membuahkan hasil.

Ali disahkan meninggal dunia di dalam kenderaannya di pos kawalan sempadan yang dikawal Houthi di Marib.

Beliau didakwa cuba melepasi kawasan sempadan untuk memasuki Arab Saudi atas tujuan keamanan yang cuba diusahakannya.

Ali dan kumpulannya terpaksa menggunakan laluan darat atas dua sebab pertama, kerana memikirkan akan ada budi bicara dari kumpulan pemberontak Houthi di sempadan dan kedua kerana laluan ke lapangan terbang terhampir dikuasai kedua-dua pihak bertelagah.

Jika diikut kepada asas perang saudara tersebut adalah kerana fahaman yang disokong Iran dan Arab saudi serta sasarannya adalah pemimpin tertinggi kedua-dua belah pihak iaitu Abed Rabbo Mansor Hadi dan Ali Abdullah Saleh.

Selepas kematian Ali, kedua-dua tentera pakatan dilihat seakan hampir hilang punca.

Di satu pihak, iaitu pakatan Arab Saudi, sasaran menumbangkan pemimpin tertinggi Houthi telah dilaksanakan lawan manakala sasaran lawannya itu iaitu Iran terpaksa ditangguh kerana perpecahan dalaman kalangan penyokong.

Wujud penyokong yang memihak Ali dan ada penyokong yang memihak kepada Abdul Malik.

Kedua-dua kumpulan terbabit pada asalnya adalah daripada parti yang dipimpin Ali, Parti Kongres Rakyat.

Abdul Malik dalam ucapan yang disiarkan di televisyen menamakan hari kematian Ali sebagai hari bersejarah buat Houthi

"Kami telah berjaya menjejak ketua pengkhianat dan tentera yang jadi tali barut dan kami berjaya menghentikan langkah jenayah seterusnya," jelasnya.

"Hari ini adalah hari kejatuhan konspirasi pengkhianatan dan pengkhianatan.

"Ini adalah hari yang gelap untuk tentera pakatan (Arab Saudi, Yaman dan Amerika Syarikat)," tambahnya.

Beberapa jam selepas pengumuman yang dibuat Abdul Malik, Abed Rabbo pula mengeluarkan kenyataan.

Jelasnya rakyat Yaman perlu bersatu termasuk penyokong kumpulan pemberontak Houthi yang merasakan diri mereka diabai.

"Saya menyeru semua rakyat Yaman di semua wilayah, yang masih berada di bawah pemerintahan pengganas, untuk bangkit dan menentang mereka, dan tentera kita akan menjadi pemenang," jelasnya dalam ucapan di kaca televisyen.

"Kami bersama anda, dalam musibah yang sama dan dengan satu matlamat, iaitu berjuang untuk republik dan revolusi, dan pengusiran militan Houthi-Iran," jelasnya.

Dari pengucapan yang dibuat kedua-dua pemimpin ini, dapat dilihat hala tuju terkini Yaman masih berkiblatkan kemusnahan pihak lawan yang secara jelas kemusnahan buat Yaman.

Paling ketara buat masa ini, Yaman sedang berada di ambang lebih getir dengan jutaan lagi rakyatnya bakal terhimpun dalam krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah dunia.

Jika penghujungnya adalah kemenangan kepada Syiah, maka ia mengembangkan lagi penguasaan Iran yang sedang ditentang Israel.

Dan jika memihak kepada Sunni, maka serangan Iran tidak akan terhenti di Yaman kerana lokasi lain menanti pakatan Arab Saudi dan Amerika Syarikat di Syria.

Apa kesudahan bumi Syam ini?


* Syah Hairizal Kamalul Arifin bertugas sebagai wartawan di Astro AWANI.

** Pendapat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kena-mengena dengan Astro AWANI.