PROSPEK mejalani kuarantin sudah tentu membimbangkan tetapi bagi warga Singapura, 14 hari dalam pengasingan bakal pengalaman yang selesa dan nyaman dalam suasana layanan lima bintang.

Apa tidaknya, lokasi isolasi bukan berek tentera, dewan perhimpunan mahupun asrama penginapan tetapi hotel lima bintang.

Bermula tengah malam Rabu ini, Singapura menjangka menerima antara 300 dan 1,200 warga negaranya pulang dari United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Oleh kerana kebanyakan kes COVID-29 yang diimport dikesan dalam kalangan pesakit yang dari kedua-dua negara ini, kesemua mereka yang pulang dari UK dan AS dikenakan perintah kuarantin Stay-home Notice (SHN) selama 14 hari.

Bagi menentukan perintah kuarantin itu dipatuhi sepenuhnya, kerajaan Singapura mengambil keputusan menempatkan warganya di hotel dan bukan di rumah masing-masing.

Sebanyak 7,500 bilik sudah ditempah kerajaan republik itu di beberapa hotel yang terlibat. Rangkaian hotel mewah antarabangsa Hilton Worldwide Holdings dan InterContinental Hotels Group antara yang menyambut seruan kerajaan Singapura untuk membantu usaha SHN ini.

Hotel yang terlibat termasuk Conrad Centennial, Pan Pac Singapore, Shangri-La’s Rasa Sentosa Resort & Spa, Grand Park Orchard, Village Hotel Albert Court, Village Hotel Sentosa dan The Elizabeth Hotel – masing masing bertaraf lima dan empat bintang.

Warga Singapura yang tiba di Lapangan Terbang Changi akan dibawa terus ke bilik hotel dan perlu berkurung tanpa kebenaran keluar langsung sepanjang 14 hari perintah SHN.

Kesemua hotel terlibat ditutup kepada orang awam dan segala kos penginapan ditanggung kerajaan.

Makanan akan dihantar terus ke bilik dalam pinggan mangkuk dan perkakasan pakai-buang. Sewaktu isolasi, kemudahan gimnasium dan kolam renang tidak boleh dikunjungi langsung.

Perhubungan antara penghuni bilik dan warga kerja hotel dihadkan menggunakan intercom atau secara dalam talian.

Menteri Pembangunan Masyarakat Lawrence Wong dipetik media Singapura sebagai menyifatkan kos penempatan SHN di hotel bukan satu pembaziran tetapi langkah paling praktikal menangani pandemik COVID-19.