Jawatankuasa Kuartet Menteri Arab pada Rabu mendakwa Iran campur tangan dalam hal ehwal dalaman Arab dan mendesak Tehran berhenti menyokong militia pengganas di sesetengah negara Arab kerana ia telah mengakibatkan kekacauan di rantau itu selain mengancam keselamatan nasional, lapor agensi berita China Xinhua.

Dalam kenyataan selepas satu mesyuarat di Kaherah, jawatankuasa itu yang terdiri daripada Mesir, Arab Saudi, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu, menyangkal "kenyataan provokatif yang dibuat oleh pegawai Iran terhadap negara-negara Arab."

Ia mengutuk sokongan Iran kepada operasi pengganas di negara-negara Arab dan pelancaran peluru berpandu dari wilayah Yaman ke arah Arab Saudi, satu pelanggaran jelas terhadap resolusi No 6216 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang mengharamkan militia bersenjata.

Selama beberapa dekad, golongan Syiah Iran telah dianiaya di dunia Arab yang didominasi oleh ahli sunah wal-jamaah, yang mendakwa Tehran cuba menjadikan negara-negara Arab tidak stabil dengan membantu kumpulan pengganas dan pembangkang di kebanyakan negara Arab.

Tehran telah berulang kali menafikan dakwaan itu dan berkata Iran sentiasa berusaha menjalin hubungan baik dengan negara jiran Arabnya.

-- BERNAMA