Kumpulan tujuh menteri-menteri luar (G7) pada Isnin menyuarakan kebimbangan tentang pertelingkahan maritim di Asia, berikutan tindakan pengawalan wilayah dan aktiviti ketenteraan China.

Beijing mendakwa mempunyai kuasa ke atas semua kawasan Laut China Selatan walaupun dakwaan yang bertentangan turut dibuat oleh Brunei, Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Filipina.

Ia telah membina pulau-pulau buatan di kawasan tersebut dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk mengukuhkan kedaulatannya.

Jepun, bagaimanapun mempunyai pertelingkahan tersendiri dengan China di Laut China Timur khususnya tentang pulau-pulau yang di bawah seliaan Negara Matahari Terbit itu namun turut didakwa pemilikannya oleh Beijing.

“Kami sangat bimbang dengan situasi di Laut China Timur dan Selatan, dan ingin menekankan kepentingan asas mengenai pengurusan dan penyelesaian yang aman bagi meredakan ketegangan,” ujar menteri-menteri G7 dalam satu kenyataan selepas mesyuarat selama dua hari di Hiroshima.

Negara-negara Asia Tenggara dan Washington khuatir sekiranya China mengenakan kawalan ketenteraan di keseluruhan Laut China Selatan.

Beijing dalam bulan-bulan kebelakangan ini telah membina struktur yang besar termasuk sistem radar dan pangkalan udara di kawasan-kawasan yang dipertikaikan.