Kes COVID-19 dilaporkan mula terkawal walaupun masih menular di Perancis.

Selain langkah berjaga-jaga pihak berkuasa, perkembangan positif itu turut disumbang oleh peranan pelbagai pihak termasuk usahasama syarikat pengeluar peralatan perlindungan diri termasuk topeng muka kain dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara itu.

Semasa kes COVID-19 memuncak di Perancis, syarikat pengeluar topeng muka boleh cuci itu bertungkus-lumus menghasilkan jutaan alat perlindungan berkenaan untuk mengekang penularan virus berkenaan.

Namun, hari ini, apabila kes mula terkawal, bekalan topeng muka berkenaan melebihi permintaan pula.

Sehubungan itu, semua syarikat pengeluar topeng muka mula bingung dengan lambakan bekalandi pasaran.

Tambahan pula, ketika ini, ramai penduduk yang mula mendapatkan topeng muka dari pasaran Asia yang didakwa lebih murah berbanding "Topeng Muka Buatan Perancis".

Susulan itu, syarikat-syarikat berkenaan menagih simpati kerajaan Perancis untuk membalas jasa mereka dengan mencari pembeli berpotensi untuk membeli kesemua topeng muka mereka.

Ketika ini, dilaporkan lebih 20 juta topeng muka kain masih belum terjual.

Malah, baru-baru ini, Kesatuan Industri Tekstil Perancis merupakan kumpulan pertama menyuarakan kebimbangan mereka susulan masalah lebihan topeng muka kain di pasaran.

Setakat ini, Perancis merekodkan sebanyak 156,000 kes positif COVID-19 dengan 72,572 kes pulih dan 29,374 kematian.