Sebuah kapal perang Angkatan Laut Amerika Syarikat (AS) berjaya menguji senjata laser tenaga tinggi baharu dengan memusnahkan pesawat yang sedang dalam penerbangan.

Armada Pasifik Angkatan Laut dalam kenyataan pada Jumaat memberitahu, pelaksanaan tahap sistem pertama laser tenaga kelas tinggi itu bertujuan mematikan bot atau dron, atau pesawat ringan tanpa pemandu di udara.

“Berdasarkan gambar dan video yang disediakan Tentera Laut menunjukkan laser yang terpancar dari dek kapal perang manakala klip video pendek pula kelihatan seperti dron yang terbakar.

“Tentera Laut bagaimanapun tidak menyatakan lokasi khusus ujian demonstrasi sistem senjata laser (LWSD berkenaan, namun hanya mengatakan bahawa ia berlaku di Laut Pasifik pada 16 Mei lalu,” kata kenyataan itu yang dipetik menerusi laporan CNN di sini pada Sabtu.

Tambah kenyataan itu, kekuatan senjata berkenaan tidak didedahkan, tetapi laporan tahun 2018 dari Institut Kajian Strategik Antarabangsa mendapati laser itu berkemungkinan mencapai 150 kilowatt.

Sementara itu, Pegawai Komando Portland, Kapten Karrey Sanders berkata, menerusi ujian laut itu, pihaknya berupaya memperoleh maklumat penting mengenai kemampuan Demonstrator Sistem Senjata Laser Solid State terhadap potensi ancaman.

"Dengan kemampuan maju yang baharu ini, kami mentakrifkan semula perang di laut untuk pasukan keselamatan berkenaan.

“Laser yang dikenali sebagai senjata tenaga terarah (DEW), dapat menjadi pertahanan yang berkesan terhadap dron atau kapal kecil bersenjata.

"Pengembangan DEW Tentera Laut seperti LWSD memberikan faedah tempur perang segera dan memberi ruang kepada komandan untuk meningkatkan pilihan keputusan dan pilihan tindak balas," katanya.