Tutup

Berita  | Dunia

Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kembali beroperasi

Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kembali beroperasi
Penunjuk perasaan dan penumpang kelihatan berehat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong susulan himpunan yang melumpuhkan operasi lapangan terbang terbabit semalam. -Foto Reuters
HONG KONG: Pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong berkata operasi kembali diteruskan awal pagi ini dengan penerbangan dijangka mula tiba dan berlepas susulan protes yang menyebabkan hab perjalanan utama terbabit terjejas teruk.

"Kami telah menyambung kembali daftar masuk," kata seorang jurucakap lapangan terbang yang mengesahkan penerbangan akan kembali beroperasi dalam masa beberapa jam berikutnya.
Notis di balai berlepas turut memaparkan beberapa penerbangan diletakkan dalam status 'boarding soon" manakala beberapa yang lain menyenaraikan jadual berlepas baharu.

Penumpang mula didaftar masuk untuk penerbangan dan hanya segelintir penunjuk perasaan dilaporkan masih berada di lapangan terbang berkenaan.
Pihak berkuasa semalam mengumumkan pembatalan semua penerbangan tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong berikutan protes yang disertai lebih 5,000 penunjuk perasaan.