Pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyiasat pencabulan hak asasi manusia di Myanmar menyatakan bahawa enam jeneral tentera negara itu perlu disiasat dan didakwa berhubung tindakan penghapusan etnik Rohingya di wilayah Rakhine.

Mereka termasuk Ketua Panglima, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.

Dalam laporannya yang dikeluarkan pada Isnin, pasukan penyiasat PBB menyatakan bahawa tentera Myanmar melakukan pembunuhan dan pemerkosaan terhadap penduduk Rohingya dengan tujuan untuk menghapuskan etnik itu.

Laporan tersebut dibuat berdasarkan beratus-ratus wawancara dan ia merupakan kecaman paling keras dari PBB berhubung keganasan terhadap Rohingya.

Dalam laporannya itu, pasukan penyiasat turut membidas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, kerana gagal menghentikan keganasan itu.

BACA: Facebook ambil tindakan hapus akaun pegawai tentera tertinggi Myanmar

Lebih 700,000 penduduk Rohingya di wilayah Rakhine melarikan diri ke Bangladesh berikutan tindakan kekerasan tentera Myanmar sejak Ogos tahun lalu. - Agensi