Tutup

Berita  | Dunia

Laut China Selatan, Rohingya, perang dagang China-AS jadi tumpuan pemimpin ASEAN

Laut China Selatan, Rohingya, perang dagang China-AS jadi tumpuan pemimpin ASEAN
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel (kiri) bersama Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani ketika sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 hari ini. - Foto BERNAMA
BANGKOK: Isu serantau dan antarabangsa bakal mendominasi pertemuan 10 negara anggota ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 yang bakal bermula esok.

Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Ahmad Rozian Abdul Ghani menjangkakan tidak kurang daripada enam isu serantau dan global bakal diperhalusi menerusi beberapa siri mesyuarat melibatkan pegawai kanan kerajaan hingga ketua-ketua negara dan kerajaan.

“Kita boleh menjangkakan beberapa isu semasa, tapi saya tidak boleh mengandaikan awal apa yang akan dibincangkan oleh para pemimpin. Namun, pastinya isu-isu yang memberi kesan kepada kita, contohnya Laut China Selatan, etnik Rohingya di Rakhine, Semenanjung Korea akan diberi tumpuan oleh para pemimpin.

“Kita juga melihat isu keganasan dan ektremisme sebagai salah satu daripada isu yang perlu kita ketengahkan bagi mendapatkan kerjasama sekali gus mengetengahkan permasalahan yang kita hadapi.
“Pastinya akan turut dibincangkan adalah perang ekonomi antara dua negara besar (China dan Amerika Syarikat), yang memberi kesan kepada kita. Saya pasti, isu ini juga akan dibincangkan oleh para pemimpin,” katanya pada sidang media sempena sidang kemuncak itu, di sini hari ini.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 ini bakal menjadi pentas kepada 10 negara anggota itu untuk menilai semula dan mengkaji isu-isu semasa yang mendepani rantau ini.

“Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 ini memberi peluang kepada para pemimpin ASEAN untuk menilai semula dan mengkaji isu-isu semasa dan agenda Komuniti ASEAN berikutan penubuhan Komuniti ASEAN dan perakuan dokumen ASEAN 2025: Melangkah Ke Hadapan Bersama atau Visi ASEAN 2025 yang dimeterai pada tahun 2015 semasa kepengerusian ASEAN di Malaysia pada 2015,” ujarnya.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang dijangka tiba petang Khamis akan mengetuai delegasi Malaysia yang turut dianggotai oleh beberapa menteri Kabinet yang lain.

Antara menteri Kabinet yang dijadual hadir  ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darrel Leiking dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dengan tema ‘Advancing Partnership for Sustainability’, Sidang Kemuncak Asean Ke-34 itu adalah Sidang Kemuncak pertama diadakan dengan Thailand sebagai pengerusinya tahun ini.

Menurut Jojie, Perdana Menteri, dan juga lain-lain menteri, akan mengambil bahagian dalam tiga pertemuan iaitu pertemuan pemimpin-pemimpin Asean dengan perwakilan Persidangan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA); pertemuan pemimpin-pemimpin Asean dengan perwakilan Belia Asean, serta pertemuan pemimpin-pemimpin Asean dengan Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-Bac). 

Malah, Dr Mahathir juga dijadual mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak ke-13 Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak ke-12 Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT) yang akan berlangsung pada 23 Jun.

Dalam lawatan itu, Dr Mahathir juga akan merasmikan program Malaysia Fest di 2019 di the Central World Shopping Mall, di samping mengadakan mesyuarat perniagaan meja bulat dengan tokoh-tokoh industri Thailand pada 21 Jun.

Tag: Sidang Kemuncak ASEAN, ASEAN, ASEAN Bangkok, Bangkok, Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, Datuk Ahmad Rozian Abdul Ghani, Datuk Jojie Samuel, ASEAN Summit


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.