Rakyat New Zealand hari ini mula menyerahkan senjata separa automatik mereka sebagai sebahagian daripada skim pembelian balik.

Ia susulan insiden serangan berdarah ke atas jemaah yang sedang menunaikan solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Mac lalu.

Seramai 51 mangsa maut dalam kejadian itu manakala 49 yang lain cedera.

Ekoran kejadian, undang-undang pemilikan senjata api telah diubah dengan pindaan terhadap larangan pemilikan senjata semi-automatik sejak April.

Inisiatif julung kali diadakan ini menyaksikan lebih NZ$433,600 (RM1.19 juta) telah dibayar kepada pemilik senjata api di Christchurch sebagai ganti rugi selepas mereka tampil menyerahkan lebih 200 senjata api secara sukarela.

BACA: Seorang lagi mangsa serangan pengganas di Christchurch meninggal dunia

BACA: Serangan Christchurch: Suspek utama serangan mengaku tidak bersalah

Menurut Komander Polis Daerah, Mike Johnson, mereka mendengar maklum balas yang sangat positif daripada komuniti.

“Kami sedar ini merupakan satu perubahan yang sangat besar buat mereka (pemilik senjata api), namun kami mendengar maklum balas yang sangat positif daripada mereka,” kata Mike.

Sementara itu, di Canterbury, media tempatan melaporkan 900 pemilik senjata api telah mendaftar untuk menyerahkan lebih 1,415 senjata api kepada polis untuk dilupuskan.