Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

Lebih 95 peratus rakyat mengundi dalam PRU Singapura 2020 - ELD

Lebih 95 peratus rakyat mengundi dalam PRU Singapura 2020 - ELD
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong (kanan) dari parti PAP sedang menunggu untuk memberi ucapan di pusat penamaan calon sebelum pilihan raya umum di Singapura, 30 Jun, 2020. REUTERS/Fail
SINGAPURA: Jumlah undi pada Pilihan Raya Umum Singapura 2020 yang baru selesai ialah 2,540,359 atau 95.81 peratus daripada 2,651,435 pemilih berdaftar.

Menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD), jumlah itu termasuk undi dari luar negara.

ELD dalam kenyataan pada Rabu menyebut undi dari luar negara, yang berlangsung pada 10 Julai, dikira di Pusat Latihan jabatan tersebut.

Kenyataan itu menyebut sejumlah 4,794 pemilih berdaftar di luar negara hadir di pusat pengundian yang ditetapkan untuk mengundi.
"Ini merupakan 72.97 peratus daripada jumlah pemilih berdaftar di luar negara," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, ELD mengatakan terdapat sejumlah 6,570 pengundi berdaftar di luar negara dan 10 pusat pengundian telah ditetapkan di 10 bandaraya iaitu Beijing, Canberra, Dubai, Hong Kong, London, New York, San Francisco, Shanghai, Tokyo dan Washington.
Kenyataan itu juga menyebut jumlah undi tersebut termasuk 45,822 undi yang ditolak.

Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum sengit pada Jumaat apabila memenangi 83 daripada 93 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Parti itu meraih 61.24 peratus undi popular.

-- BERNAMA