Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini mengeluarkan akuan berkanun kepada Jawatankuasa Kementerian mengenai wasiat mendiang Perdana Menteri Lee Kuan Yew berhubung rumahnya di 38 Oxley Road.

Ini berikutan kenyataan adik-adiknya yang dikeluarkan pada 14 Jun yang merujuk kepada representasinya kepada Jawatankuasa Kementerian, khususnya berkaitan soalan yang beliau timbulkan tentang suasana yang membawa kepada pelaksanaan wasiat akhir Lee Kuan Yew dan kemasukan fasal mengenai perobohan.

"Mereka mendakwa ini adalah tuduhan tidak berasas dan salah nyata, yang mereka telah sanggah pada 2015. Mereka juga menuduh saya mempunyai motif kerana menimbulkan soalan itu. Ini tidak benar," kata beliau dalam catatan di Facebooknya.

Catatan itu dilampirkan dengan ringkasan akuan berkanun.

Lee berkata Setiausaha Kabinet telah mengesahkan bahawa "Jawatankuasa itu ''telah menerima representasi daripada (saya) mengenai pelbagai fakta dan suasana berhubung bagaimana wasiat akhir Encik Lee disediakan'', dan bahawa adik-adik saya telah tidak menjawab soalan Jawatankuasa itu tentang bagaimana wasiat akhir disediakan dan ''peranan dimainkan oleh Puan Lee Suet Fern dan peguam dari firma guamannya dalam menyediakan LW (wasiat akhir)''.

"Beliau menambah adik-adik saya ada menyatakan ''mereka hanya dapat menjawab paling awal penghujung Jun'', dan tidak pula mengesahkan bahawa ini akan dibuat dalam bentuk akuan berkanun, seperti telah saya lakukan," tulis Lee.

Lee mengambil perhatian bahawa beliau harap dapat menangguh mempertimbangkan perkara itu sehingga selepas beliau pulang dari cuti.

"Tetapi adik-adik saya telah terus membuat tuduhan terhadap saya. Ini menyebabkan saya terpaksa memberi respon secara terbuka terhadap tuduhan itu dan untuk menjelaskan mengapa saya mempunyai soalan serius tentang bagaimana wasiat akhir bapa saya disediakan.

"Soalan ini secara langsung adalah relevan kepada tugas Jawatankuasa dan menentukan apakah fikiran dan hasrat Encik Lee Kuan Yew berhubung rumah itu.

"Oleh itu saya telah meminta peguam saya mengeluarkan ringkasan yang disunting itu tentang apa yang telah saya beritahu Jawatankuasa mengenai perkara ini dalam akuan berkanun saya," tulis Lee dengan mengakhiri catatannya dengan initial LHL.

Adik-adik Lee, Dr Lee Wei Ling dan Lee Hsien Yang pada 14 Jun pada kira-kira 2 pagi mengeluarkan kenyatraan enam halaman di Facebook mereka dengan tajuk ''What has happened to Lee Kuan Yew''s values?'' (Apa telah terjadi dengan nilai-nilai Lee Kuan Yew)

Kebanyakan bahagian kenyataan itu difokuskan kepada hasrat Lee Kuan Yew untuk melihat rumahnya di 38 Oxley Road dirobohkan oleh tiga orang anaknya.

Dalam mengeluarkan ringkasan akuan berkanunnya yang mengandungi ''fakta dan perkara'', Perdana Menteri menonjolkan sembilan "soalan serius" tentang bagaimana wasiat akhir Lee Kuan Yew'' disediakan.

Lee Kuan Yew yang meninggal dunia pada 23 Mac, 2015 membuat enam wasiat sebelum wasiat terakhirnya pada 17 Dis, 2013.

-- BERNAMA