Kronologi sebuah kes pembunuhan paling gempar di Perth semakin dirungkai polis tempatan selepas seminggu mencetuskan tanda tanya orang ramai.

Seorang lelaki berusia 24 tahun dilaporkan telah hilang pertimbangan hingga tegar membunuh isterinya, tiga anak kecil mereka dan ibu mertuanya di kediaman keluarga, sebelum akhirnya menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Kejadian yang berlaku pada Isnin minggu lalu itu adalah tragedi keluarga yang ketiga menggemparkan komuniti sekitar negeri Australia Barat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Polis menahan Anthony Robert Harvey atas dakwaan membunuh dua anak kembarnya, Alice dan Beatrix, yang berusia 2 tahun; anak perempuan berusia 3 tahun, Charlotte; dan isterinya, Mara, 41.

Harvey juga didakwa membunuh ibu mertuanya, Beverley Quinn, 73, selepas wanita itu mengunjungi kediaman itu keesokan harinya.

Pesuruhjaya Polis Australia Barat Chris Dawson memberitahu wartawan bahawa tiada senjata api digunakan dalam serangan itu, sebaliknya pembunuhan dipercayai dilakukan dengan ‘objek tumpul dan juga pisau’.

"Kami percaya pembunuhan itu sudah berlaku selama dua hari.

“Mara dan tiga kanak-kanak itu dibunuh dalam masa sehari pada 3 September, manakala Quinn (ibu mertua) dibunuh pada pagi keesokannya,” ujar Dawson.

Tambahnya, dua wanita itu dibunuh di dapur manakala anak-anak mereka dibunuh di dalam bilik-bilik lain rumah tersebut.

"Suspek terus tinggal di rumah itu untuk beberapa hari,” jelasnya.

Polis menemui jasad lima mangsa itu selepas suspek menyerah diri ke sebuah balai polis yang terletak 1,500 kilometer ke utara Perth pada Ahad (semalam), selepas seminggu terbiar.

Media tempatan turut memetik kata-kata jiran mangsa yang mangatakan bahawa ‘ada sesuatu yang tidak kena’ apabila kediaman dan halaman rumah berkenaan yang selalunya riuh dengan suara kanak-kanak, tiba-tiba saja bertukar sepi.

Dawson berkata, negeri Australia Barat sudah dikejutkan dengan dua tragedi berdarah seumpamanya sejak Mei lalu.

Pada Mei, seorang lelaki menembak mati isteri, anak perempuan dan empat cucunya, manakala pada Julai, seorang lelaki didakwa membunuh ibu dan dua adik beradiknya.