Seorang lelaki menembak mati teman wanitanya sebelum membunuh diri kerana menyangka dia dan kekasihnya dijangkiti COVID-19.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam waktu tempatan di Lockport Township, Illinois itu, polis Will County dikejarkan ke sebuah rumah susulan aduan.

Ketika pemeriksaan, semua pintu dan tingkap dikunci dari dalam memaksa pihak berkuasa menyerbu masuk.

Patrick Jesernik, 54, dan Cheryl Schriefer, 59, dijumpai mati di bilik berasingan dengan kesan tembakan di kepala, kata pejabat syerif dalam satu kenyataan.

Pasangan itu yang tidak berkahwin telah tinggal bersama selama 8 tahun, lapor NBC News.

Sepucuk revolver mengandungi dua kelongsong peluru dan tiga peluru hidup dijumpai dekat mayat Jesernik.

Tiada kesan pergelutan dan rumah itu nampak kemas dan teratur.

Polis memaklumkan mendapat panggilan daripada ibu bapa Jesernik yang meminta mereka memeriksa keadaan anaknya kerana telah lama mendengar khabar daripadanya.

"Pemeriksaan yang dilakukan di alamat itu mendapati tiada aduan keganasan rumahtangga dilaporkan," kata jurucakap polis.

Ahli keluarga yang hadir memberitahu bahawa Jesernik yang menjalani ujian dua hari lalu seolah trauma kerana menyangka dia dan Schriefer dijangkiti COVID-19.

Schriefer dikatakan menghadapi masalah bernafas walaupun keputusan ujian belum dikeluarkan.

Autopsi pada Jumaat mendapati kedua-dua mereka mati akibat tembakan di kepala. Kematian Schriefer dikategorikan sebagai homisid manakala Jesernik mati akibat bunuh diri.

Kedua-dua mereka disahkan negatif COVID-19.



Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.



Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.