Menyambung pengajian ke menara gading merupakan satu pintu sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Pemilihan universiti perlulah tepat dengan mengambil kira pelbagai faktor, tetapi seorang lelaki daripada China mempunyai motif yang amat ganjil.

"Supaya senang mencari teman wanita." Itu jawapan pelajar lelaki berusia 18 tahun itu yang enggan dikenali ketika sesi temu ramah di China Women's University di Beijing.

Setiap tahun, universiti itu akan mengambil 1,500 pelajar dan akan memilih seorang pelajar lelaki.

Tindakan pelajar lelaki yang berasal dari Ningbo, Zhejiang itu, kini tular di media sosial kerana telah membangkitkan isu ketidakseimbangan jantina di China.

"Universiti ini mempunyai ramai pelajar wanita. Jika saya mampu menyambung pengajian di sini, saya tidak mempunyai masalah untuk mencari pasangan hidup," kata beliau dalam temuramah yang dirakam melalui video.

"Ayah saya menasihati saya untuk berhati-hati. Dia tidak mahu anaknya berubah kerana berada dalam persekitaran yang dikelilingi wanita," katanya lagi seperti dipetik Yangtze Evening News.

Pihak universiti memberitahu, hanya fakutli kesusasteraan yang menerima pelajar lelaki.

Walaupun mempunyai tandas untuk pelajar lelaki di seluruh bangunan dan juga perpustakaan, kemudahan untuk mereka adalah terbatas.

"Kolej kediaman lelaki adalah kecil tetapi bilik mereka mempunyai ruang yang mencukupi," pihak universiti dipetik berkata.