Seorang lelaki warga Jerman kini ditahan di Bali kerana memiliki makmal memproses metamfetamin di makmal rahsia, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Turut dirampas adalah bungkusan-bungkusan berisi serbuk dan botol-botol yang digunakan untuk menghasilkan dadah berkenaan.

Lelaki berusia 35 tahun itu turut ditahan pada Isnin bersama pasangannya iaitu seorang mak nyah, dan dua lelaki warga tempatan, dipercayai sama-sama terlibat dalam pemprosesan dadah tersebut.

Kesemua suspek berdepan dengan hukuman 15 tahun penjara jika didapati bersalah kerana menghasilkan dan menggunakan bahan terlarang berkenaan. Mereka berkemungkinan tidak dikenakan hukuman mati kerana hanya kuantiti dadah yang ditemui itu dalam jumlah yang kecil.

Cuma 10 gram dadah dirampas ketika mereka ditahan. Pihak berkuasa mengesyaki penghasilan itu untuk digunakan sendiri dan hanya menjual dalam kuantiti yang sedikit untuk pihak lain di Bali.

Indonesia menegakkan hukuman mati kepada pesalah dadah, seperti penyeludupan ke dalam negara, dan undang-undang itu telah menimbulkan kemarahan global khususnya kumpulan hak asasi manusia.

Warga Jerman itu, yang namanya tidak didedahkan, merupakan individu yang mencetus idea untuk menjalankan operasi makmal pemprosesan dadah itu sejak empat bulan lalu.

“Makmal itu baru saja beroperasi sejak sebulan lalu, dan hanya menghasilkan dadah dalam jumlah kecil,” ujar pegawai agensi anti-dadah I Ketut Arta.

Suspek tersebut telah tinggal di Bali selama lapan tahun dan mendakwa dirinya seorang usahawan hartanah.