Berita  | Dunia

Lelaki saman Apple, dakwa iPhone ubah dirinya jadi gay

Lelaki saman Apple, dakwa iPhone ubah dirinya jadi gay
Samn difailkan di mahkamah Moscow selepas dia tersalah menerima mata wang kripto 'Gaycoin' melalui aplikasi telefon pintar tersebut. -Unsplash
MOSCOW: Seorang lelaki di Rusia memfailkan saman 1 juta ruble (RM62,917) terhadap syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat, Apple kerana kemudaratan moral selepas dia mendakwa aplikasi iPhone telah menukar dirinya menjadi gay.

Tuntutan undang-undang tersebut difailkan di sebuah mahkamah di Moscow selepas dia tersalah menerima mata wang kripto 'Gaycoin' melalui aplikasi telefon pintar tersebut.

Peguamnya, Sapizhat Gusnieva menegaskan kes itu sangat serius kerana anak guamnya menjadi takut dan merana kerana insiden tersebut yang berlaku ketika musim panas lalu.

Menurutnya, GayCoin tersebut diterima bersama nota 'Jangan nilai sehingga anda cuba'.

"Bagaimana saya mahu membuat penilaian tentang sesuatu jika tidak mencubanya terlebih dahulu. Saya akhirnya memutuskan untuk mencuba seks sejenis.

"Kini, saya sudah ada teman lelaki. Saya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan tentang perkara itu kepada ibu bapa saya.

"Hidup saya telah berubah menjadi lebih teruk dan tidak akan kembali normal semula," jelas kandungan aduan yang difailkan oleh lelaki tersebut.

Dia mendakwa Apple telah mendorong dirinya terlibat dengan homoseksual melalui manipulasi dan perubahan itu telah merosakkan moral dan mentalnya.

Sementara itu, Gusnieva berkata, Apple perlu bertanggungjawab terhadap program mereka walaupun pertukaran itu dikatakan berlaku pada aplikasi pihak ketiga.

Difahamkan, saman itu difailkan pada 20 September lalu dan pendengaran kes dijadualkan pada 17 Oktober ini.