Polis Australia menembak mati seorang lelaki bersenjatakan pisau yang dipercayai membuat ugutan mahu mencederakan orang awam di luar sebuah hotel di Brisbane CBD, Australia pada Ahad pagi.

Lelaki berkenaan telah diarahkan oleh pihak polis agar meletakkan senjatanya, namun dia enggan sebelum ditembak.

Tiada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak polis, namun kejadian yang berlaku sekitar pukul 10 pagi waktu tempatan itu dipercayai telah mengakibatkan seorang orang awam cedera.

Polis juga masih belum mengesahkan sama ada serangan itu bersifat peribadi atau amukan rambang.

“Kami semua mendengar bunyi tembakan yang bertalu-talu. Saya nampak salah seorang polis bersama pisau di sebelah lelaki yang mati ditembak.

“Saya dengar orang menjerit dan tembakan antara tujuh ke 10 das sebelum orang ramai lari ke arah saya,” kata saksi, Adam Leishman kepada The Courier-Mail.

Dalam pada itu, jurucakap polis memberitahu mereka dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 10 pagi.

Lelaki berkenaan ditembak bagi melindungi orang awam di kawasan yang menempatkan hotel dan kediaman pangsapuri.