Barisan kabinet kerajaan Lubnan dijangka meletakkan jawatan secara besar-besaran pada Isnin.

Ia susulan kejadian letupan dahsyat di Beirut yang mengorbankan 160 nyawa dan mencederakan 6,000 yang lain pada 4 Ogos lalu, yang kemudian meningkatkan kemarahan rakyat sehingga mencetuskan protes ganas.

Sumber-sumber kementerian memberitahu agensi berita CNN bahawa kerajaan tersebut akan bertukar menjadi kerajaan sementara menjelang Isnin malam.

Setakat ini, tiga menteri dan tujuh ahli parlimen telah meletakkan jawatan.


Antaranya, Menteri Penerangan Lubnan, Manal Abdel Samad, yang meletakkan jawatan pada Ahad selepas mengakui gagal menggalas tanggungjawab itu dengan baik.

BACA: Darurat dua minggu diisytihar di Beirut susulan letupan

Lubnan dibelenggu krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad ini dan keadaan diburukkan dengan peningkatan kes positif COVID-19 selain kerajaan berdepan dengan tuduhan rasuah dan salah tadbir.

Letupan pada 4 Ogos itu memusnahkan sebahagian besar bandar raya tersebut. Kejadian berpunca daripada simpanan ammonium nitrat di sebuah depoh di kawasan pelabuhan tanpa pengawasan rapi selama enam tahun.


Hassan Diab diangkat sebagai Perdana Menteri pada Disember lalu, dua bulan selepas pemberontakan yang menjatuhkan kerajaan sebelumnya.

Kerajaan Diab dianggotai ahli teknokrat dan disokong oleh parti politik utama, termasuk kumpulan politik dan militan yang disokong Iran, Hizbullah.

Sebelum ini, mata wang Lubnan kehilangan kira-kira 70 peratus nilainya sejak protes antikerajaan bermula pada Oktober.

Kadar kemiskinan semakin meningkat dengan Bank Dunia mengunjurkan lebih separuh daripada populasi penduduk negara berkenaan akan menjadi miskin pada 2020.

Kerajaan juga dilihat tidak berupaya untuk berdepan dengan krisis perbankan yang semakin serius.

Majoriti rakyat negara berkenaan telah dikenakan had pengeluaran wang tunai selama hampir setahun.

Protes yang berlaku pada hujung minggu lalu merupakan antara yang terbesar dan paling ganas dalam tempoh setahun.

Beirut digemparkan dengan kemarahan rakyat apabila penunjuk perasaan memecah masuk beberapa bangunan kementerian serta melemparkan batu serta serpihan kaca ke arah pasukan keselamatan.



Pihak polis terpaksa melepaskan ratusan peluru gas pemedih mata dan tembakan peluru getah dalam usaha mengawal keadaan.