Pasukan kecemasan meneruskan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa runtuhan bangunan akibat letupan besar yang menggegarkan Beirut awal pagi Rabu.

Sehingga malam Rabu, lebih 4,000 mangsa dilaporkan cedera dan angka kematian kini melebihi 100 orang.

Dianggarkan lebih 300,000 orang kehilangan tempat tinggal dan memerlukan bantuan makanan, minuman serta tempat perlindungan dengan segera.

Jumlah berkenaan bagaimanapun dikhuatiri meningkat.

Hospital Universiti Saint George, salah satu hospital swasta utama di Beirut yang merawat pesakit COVID-19, turut mengalami kerosakan teruk dalam kejadian itu sehingga terpaksa memindahkan pesakit ke hospital dan klinik lain.

Menurut laporan, seramai 16 kakitangan hospital berkenaan termasuk empat jururawat selain beberapa pesakit terkorban akibat letupan itu.

Sementara itu, Presiden Lubnan Michel Aoun mengadakan mesyuarat kabinet tergempar yang antara lain bagi mengisytiharkan darurat di Beirut selama dua minggu.

Buat masa ini, letupan itu dipercayai berpunca daripada stor yang menempatkan lebih 2,750 tan ammonium nitrat yang dikatakan disimpan sejak 2014 setelah dirampas pihak berkuasa.

Perincian mengenai mengapa ia dirampas, dari siapa atau dari mana, belum didedahkan.

Perdana Menteri, Hassan Diab mengisytiharkan hari Rabu sebagai hari berkabung.

BACA: Darurat dua minggu diisytihar di Beirut susulan letupan

BACA: Apa anda perlu tahu tentang tragedi letupan Beirut