Kerajaan New Zealand tidak melihat kejadian siri letupan yang berlaku di Colombo, Sri Lanka berkisarkan kepada pembalasan atas serangan pengganas di Christchurch pada bulan lalu seperti yang didakwa oleh biro perisik negara itu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pertahanan Sri Lanka, Ruwan Wijewardene ketika bercakap kepada orang ramai mendakwa siasatan awal mendedahkan serangan di hotel serta gereja di negara itu sehingga mengorbankan 321 orang berkait dengan tragedi di Christchurch.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern berkata, beliau memahami situasi berkenaan memandangkan tragedi itu masih berada di peringkat awal.

“New Zealand tidak nampak kaitan di antara serangan di Christchuch dan Sri Lanka seperti yang didakwa oleh biro risikan Sri Lanka,” kata jurucakap Ardern dalam satu kenyataan.

Semalam, agensi berita rasmi Daesh, Amaq, kumpulan pengganas antarabangsa itu mendakwa pihaknya bertanggungjawab atas letupan di Sri Lanka yang membunuh seramai 321 orang.

Dalam satu kenyataan media pada Selasa, tujuh pengebom dinamakan: Abu Ubayda, Abu ul-Mukhtar, Abu Khalil, Abu Hamza, Abu al-Baraa, Abu Muhammad dan Abu Abdullah.Daesh, Amaq, kumpulan pengganas antarabangsa itu telah mendakwa pihaknya bertanggungjawab atas letupan di Sri Lanka.

BACA: Tragedi Sri Lanka: Daesh dakwa bertanggungjawab

BACA: Tragedi Sri Lanka: 'Sebenarnya tindakan balas dendam serangan Christchurch' - Menteri

BACA: Tragedi Sri Lanka: Suspek Daesh beri amaran awal berkenaan serangan bom?



Dalam pada itu, Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe dalam sidang media memberitahu siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek dan difahamkan ia mempunyai kaitan dengan kejadian tembakan di Christchurch.

Terdahulu, Ruwan memaklumkan kepada Parlimen bahawa serangan pada Ahad disyaki dilakukan oleh dua kumpulan pengganas Sri Lanka iaitu The National Thawheed Jama'ut dan Jammiyathul Millathu Ibrahim.